RANAU: UMNO Sabah akan terus berusaha memperkukuh gerak kerja akar umbi khususnya bagi menjayakan misi menempuh Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang bakal tiba tidak lama lagi.
Bendahari UMNO Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak, berkata, UMNO kini lebih inklusif dan sedia memberikan ruang kepada KDMR untuk turut serta memimpin negeri.
“Kita adakan program Radu Tatap Radu di DUN Paginatan hari ini, khusus untuk mendekati masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) sebagai antara kumpulan strategik dalam landskap politik negeri.
“UMNO Sabah bukan sekadar terbuka kepada semua Bumiputera, tetapi sedia memberikan ruang kepada KDMR untuk bersama-sama memimpin dan membentuk masa depan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Radu Tatap Radu di DUN Paginatan, baru-baru ini.
Menurut Salleh, UMNO akan meneruskan program penjelasan akar umbi di kawasan majoriti KDMR serta memberi laluan kepada pemimpin tempatan untuk diketengahkan dalam barisan kepimpinan.
“UMNO Sabah dipimpin oleh orang Sabah dan berbakti untuk orang Sabah.
“Jangan kita terperangkap dengan retorik lama yang hanya menanam kebencian terhadap parti nasional,” katanya.
Tambah Salleh lagi, ramai yang mengkritik parti nasional sebenarnya pernah berada dalam parti atau gabungan nasional juga satu ketika dahulu.
“Yang penting sekarang ialah kita mewujudkan kestabilan politik agar tumpuan boleh diberikan sepenuhnya kepada pembangunan.
“Saya menyeru semua rakyat memberikan sokongan padu kepada calon-calon Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang,” tambahnya.
Program yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Yakub Khan itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah UMNO Sabah untuk memantapkan kesiapsiagaan jentera parti.
Hadir sama ialah beberapa pemimpin UMNO bahagian, termasuk Ketua UMNO Bahagian Ranau Junaidi Sahat, Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu Musliati Moslimin, Ketua UMNO Bahagian Pensiangan Busiau Ampirak, dan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Azuan Marjan Norjan.
