Tidak mahu terpalit dengan kenyataan politik pihak tertentu: Zambry

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan terpalit dengan sebarang kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan isu gabungan politik di Sabah, khususnya membabitkan kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) tanpa penglibatan BN.

Setiausaha Agung merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, keutamaan dan fokus yang menjadi halanguju parti itu buat masa kini adalah memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara dan bukannya terjebak dalam polemik kenyataan balas yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Kita tidak akan membuat sebarang kenyataan-kenyataan yang berbentuk begitu kerana yang paling mustahak ialah Barisan Nasional, dan seperti yang diumumkan sebelum ini, Barisan Nasional dan PH akan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Ramah Mesra Pimpinan Zon Enam UMNO Sabah di Pejabat UMNO Kalabakan, pada Khamis.

Menurut beliau, BN tidak mahu terjebak dalam budaya politik saling membalas kenyataan kerana ia bukan pendekatan yang menjadi amalan parti itu.

“Tidak bermakna kita menutup ruang kerjasama dengan pihak lain dan asas kepada kerjasama ini adalah berteraskan persefahaman bersama.

“Apa yang penting ialah kita dapat membuat keputusan yang tuntas dan mantap demi kestabilan politik negeri Sabah,” katanya lagi.

Terdahulu. Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun memberi bayangan kemungkinan gabungan itu akan bekerjasama dengan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tanpa penglibatan BN.

Tinggalkan komen