KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa Sabah hanya akan benar-benar menjadi sebuah negeri cemerlang apabila pemimpin meletakkan rakyat dan isu yang dihadapi rakyat sebagai keutamaan.
“Isu rakyat di tempat pertama dan bukan membina cerita palsu demi menyelamatkan imej mereka yang semakin tenggelam.
“Sabah masih memegang rekod sebagai negeri termiskin di Malaysia dan rakyat masih bergelut setiap hari demi mendapatkan bekalan air bersih, elektrik sering terputus dan menyukarkan kehidupan dan menjejaskan ekonomi.
“Infrastruktur di kawasan luar bandar begitu uzur sehingga laluan ke sekolah dan klinik menjadi cabaran harian misalnya hospital awam kekurangan kakitangan, manakala sekolah masih banyak yang berada dalam keadaan yang uzur untuk pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Suhaimi, kadar pengangguran di Sabah, khususnya dalam kalangan belia masih kekal tinggi dan mendorong penghijrahan beramai-ramai ke Semenanjung Malaysia.
“Masih banyak yang perlu dilakukan dan jika berasa selesa dengan keadaan sekarang, itu tidak akan menyelesaikan kemiskinan, tidak akan menambahbaik hospital, tidak akan menurap jalan, dan tidak akan mengembalikan kepercayaan yang telah punah akibat rasuah dan kelemahan kepimpinan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Suhaimi menyeru kepada Kerajaan Negeri dibawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk fokus kepada usaha membantu menyelesaikan masalah rakyat dan tidak terlalu selesa dengan sebarang pengiktirafan atau penganugerahan yang diterima.
“Kerajaan GRS boleh terus membina imej di pentas gala, tetapi rakyat tetap hidup dalam realiti yang penuh luka dan ketidakadilan.
“Kena utamakan negeri dan rakyat, bantu untuk atasi semua masalah yang masih membelenggu negeri ini,” ujar beliau lagi.
