Pantau kenderaan awam lebih ketat untuk jamin keselamatan pelajar: KPT

Oleh: Sumayyah Rihanna

KALABAKAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil langkah proaktif dengan memperketat pemantauan terhadap penggunaan kenderaan awam, khususnya bas sewa khas yang digunakan oleh pelajar universiti di seluruh negara, bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan bagi memastikan semua kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan baik dan mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

“KPT memandang serius insiden kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

“Kita sedia maklum kita akan mengambil beberapa langkah ke hadapan bagi memastikan hal-hal berkaitan pengurusan termasuk juga keadaan kenderaan awam yang digunakan, perlu diberi perhatian.

“Ini melibatkan semua kementerian termasuk Kementerian Pengangkutan berkaitan kondisi bas dan kereta sewa yang digunakan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Ramah Mesra Pimpinan Zon Enam UMNO Sabah di Pejabat UMNO Kalabakan, malam tadi.

Tambah beliau lagi, laluan utama yang digunakan pelajar juga akan diberi perhatian oleh pihak berkaitan termasuk Kementerian Kerja Raya.

“Kementerian juga akan terus membantu memastikan perjalanan pelajar sentiasa berada dalam keadaan yang selamat. Usaha terbaik ialah dengan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa insiden menyayat hati itu perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak dan KPT akan memperkemas dasar keselamatan pelajar dalam semua aspek termasuk perjalanan luar kampus.

Tinggalkan komen