Lelaki didakwa tipu isi minyak, mengaku tidak bersalah

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang juruwang stesen minyak bagi mengisi minyak tanpa membayar di sebuah stesen minyak di daerah ini, awal bulan lalu.

Tertuduh, Kuan Kok Fah, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 Mei lalu, kira-kira jam 2.42 pagi, di Stesen Minyak Petron Taman Anson, Jalan Kuhara, Tawau.

Tertuduh didakwa telah memperdaya seorang juruwang stesen minyak dengan mendorong mangsa mengisi minyak ke dalam kenderaan Toyota Altis bernombor pendaftaran WQG 8333 miliknya, dengan niat untuk tidak membayar sejumlah wang berjumlah RM105.

Perbuatan itu dilakukan dengan niat menipu dan memperdaya, yang mana selepas mengisi minyak penuh, tertuduh terus meninggalkan stesen minyak tanpa membuat sebarang bayaran.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula untuk pengurusan kes pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Pendakwaan dikendalikan oleh pendakwa raya Shearil Aizad Murnizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tinggalkan komen