Kerjasama politik PRN sebagai keperluan strategik: UMNO

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah memilih untuk sentiasa berhati-hati dan menganggap kerjasama politik bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai sebuah keperluan strategik.

“Saya merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Masidi Manjun mengenai kesediaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memutuskan hala tuju mereka menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), dan saya ingin menyatakan bahawa UMNO Sabah mempunyai pendirian.

“BN Sabah bukanlah satu bentuk penolakan total terhadap kerjasama politik, tetapi satu langkah berhati-hati yang berpaksikan pengalaman masa lalu.

“BN, khususnya UMNO Sabah, tidak menutup ruang untuk kerjasama tetapi sebarang keputusan untuk membentuk gabungan politik mestilah berpandukan kepada kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan pelajaran daripada sejarah politik yang lalu, khususnya episod PRN ke-16,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Suhaimi lagi, ketika itu terdapat kerjasama yang akhirnya membawa implikasi politik yang merugikan BN, termasuk aspek integriti, kepercayaan serta kejelasan hala tuju bersama.

“Ia bukan sekadar soal perbezaan ideologi, tetapi juga melibatkan isu kejujuran politik dan konsistensi dalam kepemimpinan.

“Oleh itu, pendekatan UMNO dan BN Sabah pada kali ini adalah jelas, segala bentuk kerjasama perlu ditentukan secara objektif, rasional dan strategik bukan terburu-buru, apatah lagi atas dasar keperluan segera politik sesetengah pihak.

“Kami tidak akan mengulangi kesilapan lampau, dan kami tidak akan membenarkan UMNO Sabah sekali lagi diposisikan dalam situasi politik yang meminggirkan suara akar umbi kami,” katanya lagi.

Selain itu, Suhaimi juga memberitahu bahawa usaha menentukan masa depan Sabah bukan hanya soal berapa parti boleh duduk semeja, tetapi soal bagaimana gabungan yang dibentuk mampu menjamin kestabilan, integriti dan pembangunan jangka panjang untuk rakyat.

“Soal masa depan Sabah bukan sekadar berapa parti boleh duduk bersama dan bekerjasama, tetapi ini lebih besar.

“Bila bercakap soal gabungan, kena faham, hal penting dalam gabungan adalah sejauhmana gabungan itu mampu untuk membawa peranan bagi menstabilkan negeri Sabah, integriti dan lebih utama ialah aspek pembangunan untuk rakyat,” ujarnya lagi.

Tinggalkan komen