KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, melancarkan Program RM50 juta Pembiayaan Berasaskan Hasil (Revenue-Based Financing) oleh Dattel Asia Group, bagi usaha memperluas akses modal kepada golongan usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut Ewon, pembiayaan alternatif melalui program seumpama itu adalah dilihat sebagai satu inisiatif yang baik bagi menyediakan peluang lebih luas kepada usahawan serta PMKS untuk mendapatkan akses kepada modal perniagaan.
“Kerajaan sentiasa mengalu-alukan dan menyambut baik sebarang usaha pihak swasta dalam mencipta nilai dan meletakkan asas untuk memberikan impak jangka panjang yang lebih signifikan ke atas ekosistem perniagaan PMKS, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Inilah antara hasrat kerajaan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030, iaitu memperluas akses kepada pasaran modal bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing PMKS di peringkat domestik dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program itu sempena OHSEM360 2025, di World Trade Centre Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Program OHSEM360 bertemakan “Bisnes Mantap dengan AI dan Data mengetengahkan pendekatan pembiayaan yang lebih fleksibel, berdasarkan prestasi hasil perniagaan usahawan, satu alternatif kepada pinjaman konvensional.
Tambah Ewon lagi, inisiatif oleh Dattel Asia Group merupakan contoh jelas bagaimana inovasi kewangan dan teknologi boleh memberi kesan langsung kepada pertumbuhan dan kelangsungan usahawan serta PMKS.
“Ia juga menunjukkan bahawa kerajaan dan sektor swasta memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan mampan demi manfaat rakyat dan ekonomi negara,” katanya.
Beliau juga memberitahu bahawa, kementeriannya terbuka dan mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam menyediakan pembiayaan alternatif.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja dapat menambah aliran modal kewangan dalam pasaran, tetapi juga menangani kekangan capaian PMKS terhadap sumber pembiayaan alternatif.
Ini secara langsung mengurangkan kebergantungan kepada dana atau geran kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon turut mengajak lebih banyak syarikat swasta tampil menghulurkan sokongan dalam bentuk pembiayaan inovatif dan lestari, selari dengan matlamat kerajaan untuk memperkasa PMKS sebagai tunjang kepada ekonomi negara.
“PMKS merupakan tunjang ekonomi negara melalui sumbangan KDNK.
“Sekiranya lebih banyak PMKS dapat dibantu, sudah tentu sumbangan mereka akan terus meningkat dan menyumbang secara lebih singnifikan kepada ekonomi negara,” katanya.
Ewon turut menekankan bahawa perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Big Data, dan automasi telah mengubah landskap perniagaan global, dan PMKS tidak lagi boleh bergantung kepada cara tradisional semata-mata.
“Seiring dengan perkembangan teknologi, usahawan dan PMKS tidak boleh beroperasi secara tradisional.
“Mereka perlu mengadaptasi penggunaan teknologi yang bersesuaian untuk kekal berdaya saing,” ujar beliau lagi.
