Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menegaskan bahawa rundingan semua parti atau gabungan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 perlu dilakukan dengan bijak kerana pertandingan harus berlaku dengan mesra tanpa ego, sebaliknya mencari jalan praktikal di lapangan.
“Untuk mengurus perkara ini secara berkesan, setiap parti perlu seimbang antara realiti politik dan rasa hormat terhadap kekuatan rakan-rakan gabungan.
“Pertandingan mesra bukan ‘bebas untuk semua’ dan ini adalah persetujuan yang dirancang dan saling hormat, di mana walaupun bertanding di kerusi sama, siapa pun yang menang, kerusi itu kekal dalam gabungan.
“Hal ini perlu kerana ini adalah jalan penyelesaian yang harmoni, daripada membiarkan pertindihan mencetuskan ketegangan atau mendorong calon bebas tajaan, lebih baik ia ditangani melalui pertandingan mesra, di mana parti-parti dalam gabungan bersetuju untuk bertanding tetapi kekal bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman media sosial Facebook rasmi beliau, siang tadi.
Salleh yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu juga berkata, isu pertindihan kerusi terutama yang melibatkan gabungan parti politik adalah perkara biasa dan perlu diurus dengan kematangan.
“Dalam mana-mana gabungan politik, adalah perkara biasa jika dua atau lebih parti berminat untuk bertanding di kerusi yang sama.
“Di negeri yang berbilang kaum seperti Sabah, ini bukan luar biasa.
“Yang penting ialah bagaimana ia diurus dengan kematangan dan saling menghormati,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, kajian profesional juga dilihat amat penting bagi menentukan kerusi mana sesuai untuk pendekatan tersebut.
“Ia perlu mengambil kira keputusan pilihan raya lepas, kekuatan jentera, calon yang dicadang, serta kemungkinan tukar kerusi.
“Jika tidak diurus dengan teliti, pertindihan boleh menyebabkan perpecahan undi dan memberi kelebihan kepada pihak lawan gabungan.
“Jika sekurang-kurangnya separuh daripada 73 kerusi DUN Sabah dapat dipersetujui tanpa pertindihan, itu sudah satu asas yang kukuh dan untuk baki kerusi, pertandingan mesra hanya wajar digunakan apabila rundingan tidak menemui kata sepakat, serta mesti disertai dengan persefahaman yang jelas,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, mantan Ketua Menteri itu juga memberitahu bahawa pendekatan itu mampu membantu mengurangkan ketegangan antara jentera parti, mengekalkan kesatuan gabungan, dan memberi kejelasan kepada pengundi.
“Ia membolehkan kerjasama tanpa memaksa kompromi yang tidak realistik, dan untuk pengetahuan, model seperti ini telah diamalkan di negara lain.
“Di India, Jerman, dan Indonesia, parti-parti mungkin bertanding di sesetengah kawasan tetapi tetap bekerjasama dalam kepimpinan nasional membuktikan bahawa persaingan dan perpaduan boleh wujud seiring.
“Ini menunjukkan kematangan politik, tahu bila bersaing dan bila perlu bersatu, tanpa merosakkan kepercayaan dalam gabungan,” katanya.
Selain itu, Salleh juga menjelaskan bahawa pendekatan seumpama itu boleh membawa kepada pembentukan kerajaan yang stabil bagi landskap politik negeri Sabah, andai diurus dengan profesional.
“Ada yang berpendapat lebih baik parti bertanding solo dahulu dan hanya bentuk gabungan selepas pilihan raya.
“Namun, pendekatan ini membawa banyak ketidaktentuan kepada pengundi, calon, dan hala tuju pentadbiran, sekaligus membuka ruang kepada agenda peribadi dan rundingan pasca pilihan raya yang tidak stabil.
“Gabungan sebelum pilihan raya memberi kejelasan, membina kepercayaan, dan membawa kepada keputusan yang lebih kukuh,” katanya lagi.
Salleh juga berkongsi bahawa hasrat rakyat di peringkat akar umbi adalah untuk hidup dalam suasana aman tanpa perlu berada dalam sandiwara serta drama kemelut politik tanpa berkesudahan.
“Akhirnya, rakyat tidak mahu melihat perbalahan dalaman yang berpanjangan.
“Mereka mahu pemimpin yang boleh bekerjasama dan menghasilkan sesuatu, yang mereka harapkan ialah gabungan yang meletakkan rakyat di hadapan dan menunjukkan hasilnya,” ujar Salleh lagi.
