Oleh: Liza Din
SANDAKAN: Usahawan wanita muda bukan sekadar membangunkan perniagaan tetapi juga mencipta impak sosial yang lebih besar.
Pengerusi Institut Pembangunan Kajian Sabah (IDS), Datuk Azizah Mohd Dun berkata usahawan wanita muda Sandakan perlu menggambil peluang dalam era digital ini untuk mengembangkan perniagaan melalui platform e-dagang dan pemasaran melalui media sosial.
Beliau berkata melalui sokongan kerajaan dan persekitaran ekonomi yang kondusif, yakin lebih ramai wanita muda akan berjaya dan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.
Katanya sebagai contoh inspirasi ini boleh mengambil pelajaran daripada ramai usahawan tempatan yang berjaya membawa produk Sandakan ke peringkat global, termasuk dalam sektor pemprosesan makanan dan kraftangan.
“Usaha gigih dan ketekunan adalah kunci kepada kejayaan, seperti yang telah dibuktikan oleh ramai usahawan yang bermula dari peringkat kecil sehingga mencapai kejayaan besar.
“Melalui Pinjaman DAYANG ini, saya yakin ramai usahawan wanita muda dari daerah Sandakan yang akan berjaya mendapatkannya dan seterusnya menggunakan pinjaman ini sebaik-baiknya untuk memula, mengembang dan memajukan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semaaa merasmikan Program Memperkasakan Usahawan Wanita Muda Sabah : Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi di Dewan Sri Libaran, Sandakan hari ini.
Turut hadir sama Timbalan Pengerusi SCC Datuk Surinam Sadikun, Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah Datuk Dr. Rem Dambul, Presiden MPS Walter Kinson, Senator Anna Bell Perian dan peserta program.
Kira-kira 600 orang terdiri usahawan muda menyertai program tersebut.
Program merupakan anjuran Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan dan 25 pameran gerai usahawan wanita dari Sandakan.
Menurut Azizah mengikut data usahawan wanita yang diperolehi, terdapat seramai 9,421 orang usahawan wanita Sabah (yang menerima latihan daripada MARA pada tahun 2022).
Katanya, pada tahun 2024 usahawan wanita yang berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) adalah 4,324, manakala sejumlah 8,031 usahawan wanita direkodkan di bawah MIDE.
Jelas Azizah lagi, ribuan jumlah usahawan wanita yang direkodkan oleh pelbagai agensi mahupun jabatan ini di daerah Sandakan.
“Adalah diharapkan agar sebahagian dari usahawan wanita yang termasuk dalam data-data ini boleh kita bantu majukan perniagaan mereka melalui pinjaman DAYANG.
“Pakej Pinjaman dibawah Program Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri melalui Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) khas untuk wanita muda adalah satu langkah inovatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan wanita secara khusus,” jelasnya.
Azizah menambah Pinjaman DAYANG merupakan satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri Sabah di bawah Ketua Menteri Sabah. Datuk Seri Hajiji Noor, yang secara berterusan dan konsisten dalam mencari jalan membantu rakyat Sabah yang memerlukan.
“Di bawah kepimpinan beliau, banyak bantuan yang telah dilaksanakan.
“Rakyat harus bersyukur dan berbangga mempunyai seorang Ketua Menteri yang sangat prihatin dalam membantu rakyat Sabah dalam banyak perkara,” ujar beliau lagi.
