Oleh: Sumayyah Rihanna
KOTA KINABALU: Cubaan sindiket menyeludup minuman keras, makanan sejuk beku dan beras bernilai RM16,668,938.04 berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Siti Mang, rampasan itu berjaya merungkai kegiatan terancang dalam operasi khas bermula 14 Mei hingga 29 Mei lalu.
“Hasil serbuan ke atas beberapa kontena mencurigakan di Pelabuhan Sepanggar, pihak berkuasa menemui barangan seludup.
“Antara barangan yang dirampas termasuk minuman keras pelbagai jenama, dada ayam tanpa tulang dan beras yang dipercayai cuba diseludup masuk tanpa pengisytiharan sah,” katanya dalam kenyataan di laman media sosial Facebook JKDM Zon Sabah, di sini, petang tadi.
Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a), Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM100,000 hingga RM500,000 atau dipenjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“JKDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyeludupan. Ini adalah komitmen kami dalam melindungi hasil negara dan memastikan undang-undang dipatuhi,” tegasnya lagi.
