PITAS: Lebih 2,000 pelajar dari tujuh buah sekolah menerima bantuan secara langsung untuk keperluan persekolahan harian menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) baharu oleh SMJ Energy Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan MyKasih.
Inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Masidi Manjun, dalam satu majlis di SMK Kanibungan, sini, hari ini.
“Program ini mencerminkan komitmen SMJ Energy untuk memastikan manfaat hasil industri minyak dan gas Sabah disalurkan semula kepada rakyat, khususnya anak-anak kita yang merupakan masa depan negeri ini.
“Jika sedikit bantuan ini mampu mengubah haluan hidup seorang pelajar, maka ia merupakan satu pelaburan yang sangat besar nilainya,” katanya.
Program itu melibatkan tiga buah sekolah menengah dan empat buah sekolah rendah di Pitas, dan menyediakan bantuan tunai tanpa sentuh bagi pembelian makanan dan alat tulis di kantin serta koperasi sekolah.
Kaedah itu dilaksanakan bagi memastikan ketelusan dan bantuan disalurkan terus kepada pelajar.
Masidi turut menekankan bahawa Pitas adalah antara daerah yang menghadapi cabaran sosioekonomi paling besar di Sabah, dan setiap anak harus diberi peluang yang sama tanpa mengira latar belakang.
“Inisiatif ini melengkapi usaha berterusan pihak sekolah, pegawai pendidikan, dan pertubuhan tempatan di Pitas.
“Kita sedar dan faham bahawa memajukan pendidikan luar bandar memerlukan kerjasama pelbagai pihak, semoga usaha murni ini akan dapat terus direalisasikan,” jelas Masidi lagi.
Yayasan MyKasih memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program dengan memantau dan menyediakan laporan impak berkala.
