Hati-hati, ikut had laju, utamakan keselamatan penumpang: Bung

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyeru agar semua pemandu bas ekpress untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi had laju bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.

“Saya ingin merakamkan rasa sedih dan takziah kepada keluarga mangsa tragedi nahas bas ekspres UPSI yang berlaku di Gerik, Perak semalam.

“Kejadian menyayat hati itu bukan sahaja meragut nyawa anak-anak muda yang masih menuntut ilmu, tetapi turut menjadi peringatan besar kepada seluruh pengendali dan pemandu bas ekspres di negara ini, khususnya di Sabah.

“Sebagai seorang pemimpin rakyat yang sentiasa prihatin terhadap isu keselamatan jalan raya, saya menyeru agar semua pemandu bas ekspres di Sabah sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan dan tidak mengambil ringan soal keselamatan nyawa penumpang yang berada di bawah tanggungjawab mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Bung, pemandu bas ekpress mesti sentiasa meletakkan keutamaan dan kepentingan dalam pengendalian bas ekpress dengan mengikuti peraturan dan undang-undang.

“Jangan jadikan kejar masa sebagai alasan untuk memandu secara melulu atau melebihi had laju.

“Setiap nyawa dalam bas itu adalah amanah ibu bapa, anak-anak, pekerja dan pelajar yang hanya mahu sampai ke destinasi dengan selamat.

“Sedetik kecuaian boleh membawa padah yang tidak boleh ditebus dengan wang ringgit atau penyesalan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Bung turut menyarankan agar semua syarikat pengendali bas di Sabah meningkatkan pemantauan ke atas jadual kerja pemandu.

“Ini penting untuk memastikan mereka tidak dibebankan dengan waktu pemanduan yang panjang sehingga menjejaskan tahap fokus dan keselamatan ketika memandu. 

“Pengurusan risiko mesti menjadi keutamaan, bukan hanya keuntungan semata-mata.

“Kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), saya harap pemantauan berkala dan pemeriksaan menyeluruh ke atas bas serta rekod pemanduan dilakukan secara lebih tegas dan berkala,” jelasnya lagi.

Tinggalkan komen