Pantau operasi Ops Gasak untuk elak kekeliruan: Bung

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin meminta agar  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperlihatkan ketelusan yang lebih tinggi dalam pelaksanaan operasi penguatkuasaan Ops Gasak. 

“Ketelusan ini penting bagi memastikan sebarang kelemahan atau kekeliruan tidak disembunyikan, sebaliknya ditangani secara terbuka dan bertanggungjawab.

“Di Sabah, ramai peniaga kecil untuk sektor makanan sangat gelisah kerana tidak pasti akan terhadap langkah KPDN yang mewajibkan penggunaan silinder gas petroleum cecair (LPG) komersial bagi premis makanan.

“Kebimbangan ini berpunca daripada kekurangan maklumat yang jelas dan menyeluruh mengenai pelaksanaan operasi Ops Gasak, sekali gus menimbulkan salah faham dan keresahan dalam kalangan pengusaha makanan kecil,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Bung lagi, KPDN perlu segera menangani kebimbangan itu dengan pendekatan yang lebih inklusif dan mesra peniaga.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri juga untuk bertindak proaktif dalam menjelaskan perkara ini kepada rakyat, khususnya dalam menyediakan maklumat lengkap serta membantu para peniaga kecil dalam proses permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).

“Tindakan ini bukan sahaja akan memperkukuh pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan, malah akan memelihara kelangsungan perniagaan kecil yang menjadi nadi ekonomi tempatan.

“Sekiranya kerajaan berpendirian bahawa penggunaan gas memasak domestik tidak sesuai bagi premis makanan tertentu, maka garis panduan serta syarat-syarat pelaksanaan harus dinyatakan dengan terperinci dan telus bagi mengelakkan kekeliruan serta ketidakadilan dalam pelaksanaan,” katanya lagi.

Selain itu, Bung turut memberitahu bahawa perlu wujud keseimbangan antara penguatkuasaan peraturan dan keprihatinan terhadap realiti di lapangan.

“Ini adalah asas kepada kecekapan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.

“Saya menyeru semua pihak yang terlibat untuk menampilkan komitmen yang lebih tinggi dalam menangani isu ini secara menyeluruh, adil dan berhemah,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen