KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi mengingatkan masyarakat khususnya golongan belia untuk tidak terpengaruh dengan kandungan media sosial lebih-lebih lagi daripada pempengaruh yang digelar ‘Profesor 2 Minit’.
“Ini trend semasa cukup jelas menunjukkan ramai yang gemar atau mudah untuk percaya pada kandungan video pendek tanpa menyemak kesahihan fakta, dan membuka ruang kepada penularan maklumat tidak tepat, khususnya berkaitan politik, agama, dan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Bahagian Gagasan Rakyat Api-Api di sini pada Ahad.
Mohamed Razali turut menegaskan bahawa budaya membuat kenyataan bagi meraih populariti atau pengikut di media sosial perlu dibendung dan setiap individu bertanggungjawab ke atas apa yang mereka sebarkan.
“Ini bukan soal populariti tapi yang penting, fakta itu perlu tepat, sahih dan benar.
“Apa yang benar kita maklumkan, apa yang tidak betul jangan digembar-gemburkan,” katanya.
Dalam pada itu, Razali yang juga merupakan seorang pengamal undang-undang turut mengingatkan bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menjadi penyebar fitnah.
“Ini menyeluruh dan kita juga mahu semua pihak untuk tidak sewenang-wenangnya menjadi penyalur maklumat tidak bertauliah, mungkin ramai yang akan disaman jika tindakan itu diambil secara menyeluruh.
“Jangan sebab dua minit kita terpengaruh dan diracuni oleh fakta yang tidak sahih,” jelasnya lagi.
Tambah beliau lagi, perkara yang sewajarnya dilakukan oleh masyarakat adalah menambah ilmu dan pengetahuan di dada dengan menggunakan saluran yang betul.
“Kalau kita amal ilmu ikut jalan pintas, bukan saja kita boleh sesat dalam fakta politik, tapi juga dalam ibadah, hukum halal haram dan juga soal medikal.
“Jadi kena rajin cari ilmu, bukan hanya percaya pada video dua minit,” katanya lagi.
