KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah Datu Rosman Datu Ahir Zaman sepatutnya malu selepas kepimpinan tertinggi UMNO masih mengekalkan Datuk Seri Bung Moktar sebagai Ketua UMNO Sabah walaupun sedang bergelut dengan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
“Umum mengetahui baru-baru ini Ketua UMNO Sabah Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad gagal dalam percubaan terakhir mereka untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
“Kenyataan terkini Datu Rosman kononnya Hajiji sedang menghadapi “krisis kepercayaan” dan keraguan selepas video beberapa adun menerima wang tular seolah-olah meludah ke langit terkena muka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut beliau, realiti masa kini ialah rakyat yang telah hilang kepercayaan dan menjauhkan diri dari UMNO -BN dan bukannya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan ini adalah fakta dan bukannya retorik.
“Rosman dalam satu kenyataan turut mengingatkan agar Hajiji mempertimbang untuk menilai semula mana-mana anggota pentadbiran yang terpalit dalam skandal rasuah lesen perlombongan dalam masa yang sama belum ada satu pun pendakwaan dibuat ke atas mana-mana pihak oleh SPRM.
“Kerajaan Negeri Sabah sejak dari awal lagi dilihat bekerjasama rapat dengan SPRM malahan laporan Polis dan SPRM telah dibuat bagi merungkai tuduhan yang dibuat oleh pihak yang mendakwa dirinya sebagai ‘Whistleblower’.
“Tidak ada yang perlu disembunyikan malahan tindakan berani Hajiji membatalkan lesen mineral berjumlah 13 melalui pemalsuan dokumen termasuk cubaan memohon lesen mineral seluas sejuta ekar tanah sewajarnya diberikan pujian,” ujar beliau lagi.
