PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya dilaksanakan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021.
“Sebelum ini telah diluluskan oleh pentadbiran Kerajaan lalu dan telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021, yang mana PPKB (Pindaan) 2021 tersebut telah menetapkan sekatan had kepada peniaga bagi pemilikan dan penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa yang memerlukan kepada Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
“Pindaan yang kementerian syorkan adalah melibatkan aspek mengambil kira keperluan peniaga jualan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil secara bersasar, serta mewujudkan kejelasan undang-undang (clarity of law) untuk memastikan keberkesanan pematuhan dan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui dalam sebuah sesi sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Armizan lagi, syor untuk semakan dan pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 ini diselaraskan oleh Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPDN.
“Jemaah Menteri juga bersetuju dengan syor agar semakan dan pindaan ini.
“Selain itu, usaha ini turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan selain mendapatkan syor dan pandangan daripada pelbagai pemegang taruh,” katanya lagi.
Dala pada itu, Armizan juga memberitahu bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri turut memperakukan supaya sepanjang tempoh OPS GASAK dan sehingga pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 dimuktamadkan.
“Untuk OPS GASAK, dan hingga pindaan ini dimuktamadkan, tidak ada tindakan undang-undang diambil terhadap perniagaan jualan dan makanan berskala mikro dan kecil berkaitan penggunaan silinder LPG bersubsidi bagi keperluan premis perniagaan sendiri.
“Selain itu juga, para peniaga mikro dan kecil makanan dan minuman dibenarkan untuk mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa keperluan permit barang kawalan berjadual,” jelasnya.
Armizan turut menyeru semua pihak untuk memberi kerjasama dalam usaha gerak kerja untuk membanteras masalah ketirisan.
“Dalam masa yang sama, gerak kerja untuk membanteras ketirisan yang melibatkan aktiviti haram decanting dan penggunaan oleh industri melalui OPS GASAK ini akan kita diteruskan,” ujar beliau lagi.
