Perlu ambil serius masalah parkir kereta di hospital: Mantan Senator

KOTA KINABALU: Mantan Senator Dewan Negara, Datuk Noraini Idris menggesa kerajaan untuk mempertimbang masalah kekurangan kawasan parkir kereta dan mencari penyelesaian segera bagi masalah tersebut.

“Dengan rendah hati, saya merayu kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, agar mempertimbang dengan serius dan segera pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah yang membebankan ramai ini.

“Saya juga menyeru agar Kerajaan Negeri Sabah selaku pentadbir negeri tampil ke hadapan untuk menyelesaikan isu ini secara menyeluruh. 

“Bayangkan kepayahan yang dihadapi oleh ibu yang sarat mengandung, dengan anak kecil yang dibawa untuk tujuan temujanji bertemu doktor, sungguh menyedihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Noraini yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Sabah turut meminta agar masalah itu diatasi dengan kadar segera kerana isu kekurangan kawasan parkir kereta di HWKKS sudah lama berlarutan tanpa penyelesaian.

“Saya terpanggil untuk bersuara mewakili suara hati rakyat, terutamanya kaum wanita dan para ibu mengandung di Sabah, yang setiap hari berhadapan dengan kesukaran mendapatkan tempat letak kereta apabila hadir ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, ini bukan masalah baru tapi sudah lama.

“Saya sendiri menerima begitu banyak keluhan daripada wanita yang sarat mengandung, yang terpaksa berjalan jauh dalam keadaan letih dan berisiko, semata-mata kerana tiada ruang parkir di hospital.

“Ada yang terpaksa meletakkan kenderaan sejauh kawasan perniagaan Kingfisher, berjalan dalam cuaca panas, hujan, atau bahkan ketika menahan kesakitan untuk mendapatkan rawatan,” jelasnya lagi.

Tambah Noraini lagi, masalah kekurangan kawasan parkir kereta turut menjadi masalah utama hampir di kesemua hospital seluruh negeri Sabah.

“Apa yang lebih menyedihkan, isu kekurangan tempat letak kereta ini bukan hanya di HWKKS, tetapi turut melanda hampir semua hospital besar di Sabah termasuk Hospital Queen Elizabeth I dan II, Hospital Tawau, Sandakan dan beberapa lagi. 

“Ini bukan lagi soal keselesaan. Ini soal maruah, soal kemanusiaan dan kita wajar membela nasib rakyat dan menyediakan kemudahan yang paling terbaik untuk mereka, termasuk kemudahan kawasan parkir kereta di kawasan hospital dengan baik,” katanya lagi.

Jelas Noraini lagi, pembinaan tempat parkir kereta bertingkat bukan hanya soal struktur fizikal tetapi ia adalah lambang keprihatinan dan kemanusiaan.

“Ia adalah bukti bahawa kerajaan mendengar denyut nadi rakyat, dan bersedia bertindak demi kebaikan bersama. 

“Sudah tiba masanya kita lengkapkan apa yang kurang dan berikan kemudahan kepada rakyat kita, pesakit kita, ibu-ibu kita yang sarat mengandung yang perlu ulang alik ke hospital, supaya pergerakan mereka lebih mudah dan selamat, insyaAllah,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen