TUARAN: Sebanyak 200 ekor lembu korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha disumbangkan kepada wakil masjid dan surau kawasan parlimen Tuaran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi negeri dan daerah.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.
“Ibadah korban bukan hanya bukti taat kepada Allah, tetapi ibadah korban juga adalah amalan yang mengukuhkan silaturahim kita, perpaduan kita kerana kita saling membantu dalam komuniti apabila kita menjalankan ibadah korban.
“Selain itu, ibadh korban juga membawa mesej besar dalam memperkukuh semangat kesatuan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat Islam.
“Hari Raya Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi satu penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian”, katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengulas mengenai kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa UMNO Sabah hanya akan membuat pertimbangan mengenai kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Hajiji yang juga merupakan Pengerusi GRS berkata, perkara itu adalah pandangan peribadi Bung.
“GRS belum lagi buat sebarang keputusan dan Ahli Majlis Tertinggi GRS akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini untuk menentukan hala tuju kita dalam PRN17, termasuk siapa dan parti yang akan menjadi rakan kerjasama, menentukan agihan kerusi dan lain-lain”, katanya lagi.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Jahid Jahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
