KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir meminta agar Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai untuk tidak menjadikan kesetiaan sebagai bahan jenaka percakapan politik.
“Saya ingin mengingatkan Joniston dan rakan-rakan GRS jangan jadikan “kesetiaan” sebagai bahan jenaka, kerana jika kamu benar setia, kamu tidak akan tinggalkan kapal semasa ribut.
“Dan jika kamu benar memperjuangkan rakyat, kamu tidak akan gunakan kuasa untuk menutup pengkhianatan.
“UMNO-BN Sabah tidak akan tunduk kepada permainan persepsi. Kami kenal siapa lawan, siapa kawan, dan siapa yang berpura-pura berkawan untuk menikam dari belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Suhaimi, kenyataan Joniston yang menyerang peribadi Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan parti UMNO Sabah sebagao tindakan hujah tidak matang.
“Apa yang saya lihat bukan hujah politik yang matang, tetapi serangan kebudak-budakan daripada seorang yang barangkali lupa asal-usul politiknya sendiri.
“Izinkan saya mengingatkan Joniston Bangkuai kamu bukan siapa-siapa dalam politik Sabah jika tidak kerana platform Barisan Nasional (BN), dan dulu PBS bernaung di bawa BN sekaligus nama anda pertama kali diangkat di bawah kekuatan UMNO.
“Maka jangan terlalu ghairah bercakap soal kesetiaan, kerana sejarah mencatat bahawa kamu sendiri memilih untuk meninggalkan BN saat ia jatuh, dan tidak berdiri teguh bersamanya ketika diuji,” katanya lagi.
Tambah Suhaimi lagi, tindakan Joniston seolah-olah melupakan sejarah pengkhianatan PBS bila meninggalkan BN sehari sebelum pilihan raya 1990.
“Jangan lupa tragedi 1990 dan masa 2002, masuk semula, dan kemudian tinggalkan BN kali kedua pada 2018, lepas BN hilang kuasa.
“Politik kamu adalah politik oportunisme , mencari tempat yang selamat, bukan memperjuangkan prinsip.
“Jangan cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan kritikan murahan, jadi jangan bercakap seolah-olah GRS dibina atas idealisme murni, sedangkan hakikatnya ia dibentuk melalui pengkhianatan demi mengekalkan kuasa kerana politik tidak boleh dibina atas memori singkat,” katanya.
Suhaimi turut menegaskan bahawa sebagai pemimpin, Joniston sewajarnya tidak mudah lupa akan kekuatan parti sendiri dan bersikap lepas tangan, demi untuk memastikan kelangsungan kerjaya politik peribadi.
“Sebagai pemimpin PBS, kamu terlalu mudah lupa bahawa PBS hari ini tidak lebih daripada parti serpihan yang hanya mencari ruang berteduh, dulu kamu berteduh di bawah BN, kini di bawah Hajiji, macam mana pula hari esok?
“Hari ini kamu menolak kerjasama dengan UMNO-BN kononnya demi prinsip tapi dulu, kamu berbaris paling depan ketika menyambut kemenangan BN.
“Jangan putar belitkan fakta, anda sendiri berpolitik secara kepentingan peribadi, meninggalkan BN bila BN susah.
“Ingat, rakyat boleh menilai, rakyat tidak buta dan mereka tahu siapa yang konsisten dalam perjuangan dan siapa yang hanya muncul untuk jawatan, cukup-cukup lah bermain wayang kulit,” ujar beliau lagi.
