GRS akan terus fokus ke depan: Nizam

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan memberitahu bahawa Kerajaan Negeri di bawah naungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus fokus ke depan dan menjalin kerjasama strategik bersama Pakatan Harapan (PH) demu memastikan kestabilan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Kuasa sebenar bukan di tangan pemimpin, bukan di tangan tokoh dan bukan melalui propaganda yang didendangkan kepada rakyat, tetapi kuasa sebenar adalah terletak di tangan rakyat, rakyat di peringkat akar umbi.

“Biar rakyat Sabah menilai dan memilih siapa yang layak untuk menjadi wakil bagi suara mereka, memperjuangkan nasib mereka dan memimpin negeri ini untuk lebih stabil dan harmoni.

“Kita tidak mahu layan drama dan kita mahu fokus pada usaha yang perlu dibuat untuk kelangsungan Sabah membangun terus seiring perkembangan sewajarnya,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Nizam yang juga merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, pihak yang menunding jari dan melemparkan tuduhan tidak berasas kepada Kerajaan GRS adalah pihak yang mempunyai masalah hati dan tidak boleh menerima kekalahan.

“Jika ada yang mendakwa UMNO bukan ‘alat politik, bukan ‘pelengkap skrip, bukan ‘beli janji palsu’, saya ingin kembalikan persoalan ini kepada pihak tersebut, di Sabah, parti mana yang mempunyai sejarah panjang dalam lakaran skrip politik yang penuh kelompangan, bukan di Sabah bahkan boleh kita katakan seluruh negara Malaysia sebenarnya.

“PRN2020 melakar sejarah siapa yang sebenarnya mungkir janji dan prinsip moral, dua hari sebelum penamaan calon, UMNO-Barisan Nasional (BN) sudah setuju untuk bertanding 27 kerusi, namun bila tiba masanya, mereka mengumumkan untuk bertanding 41 kerusi.

“Ini tindakan yang bukan cuma melanggar dan merosakkan persefahaman, tetapi mengundang kekeliruan dan punca keretakan awal dalam sebuah gabungan,” katanya lagi.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu juga, UMNO-BN sewajarnya cermin diri sendiri dan meneliti kembali sejarah mereka sebelum melabel pihak lain sebagai pengkhianat.

“Jika ingin bercakap soal ‘maruah’ dan ‘pengkhianatan’, UMNO wajar terlebih dahulu memandang cermin sejarahnya sendiri.

“UMNO juga masih tidak dapat menerima hakikat bahawa dalam gabungan parti-parti politik, parti yang memiliki jumlah kerusi tertinggi memiliki keutamaan untuk menjadi ketua koalisi.

“GRS yang dianggap sebagai parti-parti “serpihan” oleh mereka, berjaya memiliki bilangan kerusi tertinggi dan seterusnya memiliki keutamaan untuk memilih Ketua Menteri Sabah, jadi inii bukan satu pengkhianatan, tetapi asas demokrasi yang sebenar,” jelasnya lagi.

Tegas Nizam, UMNO Sabah perlu mula menyedari hakikat bahawa parti itu bukan lagi parti dominan di Sabah, termasuk peringkat nasional.

“UMNO Sabah juga perlu sedar bahawa mereka bukan lagi “abang besar” politik.

“Di peringkat nasional, mereka semakin tenggelam dalam kehilangan sokongan, dan di Sabah, rakyat sudah serik dengan skrip lama yang hanya berubah pelakon tetapi tidak jalan cerita,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen