Oleh: Sumayyah Rihanna
SANDAKAN: Seramai 238 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk kanak-kanak dicekup dalam operasi besar-besaran yang digerakkan Jabatan Imigresen Sabah sejak tengah malam tadi di beberapa lokasi panas sekitar daerah ini.
Operasi bersepadu yang dikenali sebagai Ops Sapu dan Ops Mahir itu menyasarkan kawasan setinggan Batu 8 dan Batu 10, selain premis kilang dan tapak pembinaan yang disyaki menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.
Menurut Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof, operasi melibatkan seramai 71 pegawai penguat kuasa dari empat daerah iaitu Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Kota Kinabalu.
“PATI yang ditahan terdiri daripada 88 lelaki dewasa, 88 perempuan dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 32 kanak-kanak perempuan.
Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, salah guna pas serta majikan menggaji PATI,” katanya.
Kesemua individu berkenaan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Setakat ini, 2,730 PATI telah ditahan di seluruh Sabah sejak awal tahun menerusi siri operasi berterusan pihak Imigresen.
Daripada jumlah itu, 6,058 orang dihantar pulang ke negara asal melalui laut dan udara.
Dalam masa sama, 53 majikan turut dikenakan tindakan undang-undang kerana didapati menggaji warga asing tanpa dokumen.
“Kita minta kerjasama majikan di Sabah. Pastikan pekerja yang diambil mempunyai dokumen sah.
“Jangan sampai dikenakan tindakan mahkamah,” tegas Sh. Sitti Saleha lagi.
Imigresen Sabah turut memberi amaran bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan di daerah-daerah panas seperti Semporna, Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang kekal tinggi.
