Tiada ruang kerjasama UMNO-BN Sabah dengan GRS: UMNO KK

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menegaskan bahawa tidak ada lagi ruang untuk kerjasama politik dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).

Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin berkata, parti itu adalah sebuah parti yang utuh dan tidak akan menjadi pelengkap kepada kekurangan parti lain.

“Kita bukan pelengkap kepada pementasan yang kita sendiri tidak diberi hak menulis skripnya, kita bukan alat politik yang diguna waktu lemah dan dibuang waktu kuat, dan kita bukan pentaksub kuasa, tetapi kita juga bukan pembeli janji palsu.

“Dalam sebuah negeri yang kaya dengan sejarah perjuangan dan pengorbanan, tidak semua luka berdarah. Ada luka yang diam tetapi dalam. Ada pengkhianatan yang tidak bersenjata namun menikam maruah.

“Pilihan Raya Negeri Sabah pada 2020 bukanlah satu kemenangan yang mutlak kepada mana-mana entiti politik, walaupun ada yang sejak itu mendabik dada seolah-olah kerajaan yang terbentuk adalah hasil usaha mereka semata-mata,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Musliati, GRS tertubuh bukan dari asas blok penyatuan yang kuat, sebaliknya himpunan daripada saki-baki pemimpin dari parti Bersatu.

“GRS terbentuk dari himpunan serpihan Bersatu dengan 11 kerusi, PBS 7, dan STAR 6. Namun dari serpihan itu, yang membentuk sendi sebenar adalah UMNO-BN bukan sahaja dari segi kerusi, tetapi jentera, sumber, dan sokongan akar umbi.

“Tatkala kami bertungkus-lumus mempertahankan kerusi yang dipertandingkan, muncul pula lima calon bebas kononnya bebas tetapi bersandar pada tajaan tokoh-tokoh parti tertentu. Tiga daripada mereka menang, bukan kerana kekuatan peribadi, tetapi hasil pecah-belah undi yang disengajakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Musliati turut menegaskan bahawa UMNO-BN sentiasa berpegang kepada prinsip kekuatan parti walau berdepan cabaran atau sabotaj daripada pihak yang mempunyai kepentingan lain.

“Walau disabotaj dari awal, UMNO-BN menang 14 kerusi melebihi BERSATU yang hanya 11 dan kita ada hak untuk menuntut jawatan Ketua Menteri.

“Namun atas pertimbangan realiti nasional dan kesantunan politik, UMNO mengalah dan kita beri laluan kepada Datuk Seri Hajiji Noor bukan kerana lemah, tetapi kerana kita tahu bila untuk memelihara kestabilan.

Jelas Musliati lagi, pertukaran portfolio itu kemudiannya dibetulkan namun masih ada ‘pengkhianatan’ di sebalik pertukaran itu.

Musliati turut menyatakan pendirian bahawa UMNO-BN sudah lama bersabar dan memberi peluang namun hal itu seolah-olah dipandang remeh.

Tinggalkan komen