Pantai timur Sabah selamat: KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di kawasan pantai timur Sabah berada pada tahap yang baik, tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku selama beberapa tahun ini. 

Beliau menyatakan perkara itu ketika menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Hajiji turut menzahirkan kegembiraan selepas mendapat maklumat bahawa Sabah terus menjadi destinasi penting bagi pelawat Perancis, menjadikannya yang ketiga bagi ketibaan pelawat Eropah ke Sabah, selepas United Kingdom dan Jerman. 

Ketibaan pelawat Perancis pada suku pertama tahun 2025 mencatatkan peningkatan sebanyak 26.8 peratus kepada 2,116 orang berbanding 1,669 untuk tempoh yang sama pada tahun 2024, dan jumlah ini terus meningkat. 

Hajiji yakin promosi yang berterusan dengan lebih proaktif dan agresif mampu  membantu usaha meningkatkan kehadiran pelawat Perancis ke Sabah.

Eldeen Husaini yang berasal dari Kuala Lumpur dilantik sebagai Duta Besar Malaysia  ke Perancis pada April 2024. 

Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Duta Besar Malaysia ke Kemboja.

Hajiji dan Eldeen turut mengadakan perbincangan mengenai pelbagai peluang kerjasama strategik antara Sabah dan Perancis, termasuk dalam bidang pelancongan yang akan membawa manfaat bersama kepada rakyat negeri ini. 

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jeffery Jimit, Pengarah Promosi Antarabangsa (Amerika, Eropah, Oceania) Tourism Malaysia Akbal Setia, dan  Pengarah Tourism Malaysia Paris Zalina Ahmad. 

Tinggalkan komen