Oleh: Sumayyah Rihanna
SEMPORNA: Helah dua lelaki warga Filipina yang cuba untuk menyeludup masuk pelbagai barangan kosmetik bernilai lebih RM150,000 ke perairan negara gagal apabila kegiatan mereka dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna, awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 12.20 tengah malam di perairan utara Pulau Mataking, sepasukan anggota PPM yang sedang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemukan 36 kotak berisi pelbagai barangan kosmetik yang dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran.
“Kesemua barang kosmetik itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengesahan atau kebenaran untuk dibawa masuk ke negara ini.
“Malah juragan bot juga gagal mengemukakan dokumen pemilikan, pendaftaran, resit pembelian atau sebarang bukti sah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang ditahan asing-masing berusia 49 dan 52 tahun turut ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Turut dirampas ialah sebuah perahu kayu berwarna biru bersama enjin sangkut 40 kuasa kuda, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM153,872.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967, manakala kedua-dua suspek diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mohd Nazri berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi dan rondaan di kawasan perairan bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang menggugat keselamatan serta ekonomi negara.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan diminta menyalurkannya terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera,” ujar beliau lagi.
