Perlu kerjasama industri untuk bangun silibus sesuai keperluan: Ahli akademik

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Usaha untuk menambahbaik silibus dalam bidang pengajian khususnya di peringkat pengajian tinggi memerlukan kerjasama daripada rakan industri, bagi memastikan kandungan bahan pengajaran seiring dengan keperluan semasa industri.

Pensyarah Kanan merangkap Ketua Program Hubungan Industri, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Noor Shakirah Zakaria berkata, pihak dari industri perlu membekalkan maklumat mengenai keperluan di industri, termasuk jangkaan pada masa hadapan.

“Ini paling penting kerana jika pihak industri terlibat sama dan memberitahu apa yang diperlukan, saya yakin bagi pihak institusi pengajian, seperti universiti, akan bersedia untuk meneliti dan mengemaskini kandungan silibus pelajaran agar kekal relevan dengan keperluan semasa.

“Memang sangat penting untuk silibus pengajian ini sentiasa dikemaskini, mengikut peredaran dan keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita New Sabah News, di sini, baru-baru ini.

Menurut Noor Shakirah, kerjasama antara industri dengan universiti mampu dijalinkan secara meluas dengan mengadakan sesi perkongsian dan libat urus bagi program seperti latihan industri.

“Banyak yang boleh dilaksanakan misalnya melalui siri perkongsian pengetahuan, jemputan ceramah orang-orang dalam industri bersama pelajar dan program internship yang boleh diperkukuh melalui susun atur jadual yang tepat.

“Saya yakin, usaha sebegini mampu membentuk bakal graduan yang kelak akan masuk ke dalam industri, dengan lebih beupayaan serta berdaya saing,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sistem pendidikan semasa juga perlu relevan dan melihat penawaran kursus berdasarkan kepada keperluan semasa industri.

Katanya, realiti yang berlaku masa kini adalah masih banyak subjek dan teras pelajaran yang bercanggah dengan keperluan industri.

“Saya berpendapat, sistem pendidikan kita mesti relavan dan perlu untuk kita lihat penawaran kursus, berdasarkan keperluan semasa.

“Sekarang, masih berlaku banyak subjek dan teras pengajian yang kurang sesuai,  dan ini juga boleh menjadi punca kepada graduan kurang kredibiliti, lalu penawaran  permintaan di industri juga tidak dapat dipenuhi.

“Oleh itu, bila kerajaan merancang utk pembangunan ekonomi, misalnya yang difokuskan di Sabah sekarang, berkaitan industri minyak dan gas, maka perlu ada persiapan yang berfokus ke arah tenaga pengajar dan kandungan bahan pengajaran yang tepat.

“Perancangan dan pelaksanaan strategi perlu dibuat dengan teliti untuk mengelakkan berlakunya masalah kekurangan tenaga kerja di masa akan datang,” ujar beliau lagi.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar generasi muda dan anak tempatan Sabah didedahkan dengan pendidikan dan latihan awal dari peringkat pengajian di universiti mahupun institusi kemahiran, untuk menyediakan mereka ke alam pekerjaan.

Katanya, usaha melatih bakal graduan baik dari peringkat di universiti mahukan institusi kemahiran Teknologi Vokasional (TVET), perlu dimulakan secara aktif dan lebih fleksible dengan memberi ruang untuk mereka masuk supaya mereka boleh bergraduasi dan mempunyai sijil yang kelak mampu untuk memenuhi keperluan industri.

Tinggalkan komen