Amuk dengan parang bawa padah, wanita ditahan 

TAWAU: Seorang wanita yang bertindak agresif sambil memegang senjata berbahaya di hadapan sebuah premis perniagaan di sekitar bandar Tawau berjaya ditahan, petang kemarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul lima petang setelah suspek yang merupakan wanita berusia 39 tahun mengamuk dengan memegang sebilah parang dalam keadaan mencurigakan sambil memandu sebuah kereta jenis Proton Saga.

“Sebaik menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Tawau mengenai seorang wanita yang bertindak agresif dan bersenjata, sepasukan anggota rondaan Bit yang sedang melakukan rondaan terus digerakkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, anggota polis mendapati wanita terbabit sedang memegang sebilah parang dan mereka bertindak pantas menahan suspek serta merampas senjata tersebut dari tangannya,” katanya dalam kenyataan di laman media sosial Facebook rasmi Polis Daerah Tawau, malam tadi.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek, polis menemui sebilah kapak yang disimpan di dalam bonet kereta tersebut.

Sementara itu, kesemua barangan termasuk senjata dan kenderaan yang digunakan suspek turut dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. 

Tambahnya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca dan motif sebenar kejadian. 

Tinggalkan komen