UMNO mahu terus pertahan hak rakyat: Salleh

KOTA MARUDU: Bendahari UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata UMNO akan terus membawa perjuangan mempertahan hak rakyat.

“‘Radu Tetap Radu’ bukan hanya laungan, ia cerminan keteguhan prinsip perjuangan UMNO. Kita berdiri teguh walau diuji zaman. Kita terus mara untuk rakyat Bandau dan seluruh Sabah.

“Kita mesti terus kekal berpegang kepada seruan kebangkitan semula semangat perjuangan, untuk pertahankan hak rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika hadir dalam Majlis Pelancaran ‘Radu Tetap Radu’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, di sini, hari ini.

Salleh turut menggesa gerakan jentera di peringkat cawangan untuk menggiatkan gerak kerja, terutamanya dalam usaha mendekati pengundi muda dan atas pagar.

“Jangan tunggu bila dibunyikan loceng pilihan raya baru mahu bergerak. Mulakan sekarang. Turun padang, dengar rintihan rakyat, bantu apa yang boleh,” katanya lagi.

Program “Radu Tetap Radu” DUN Bandau, dilancarkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh gerak kerja akar umbi serta kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Majlis dirasmikan oleh Pengarah Program Ratu Tatap Radu, merangkap Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO, Datuk Yakub Khan.

“Tolong menyampaikan amanat penting kepada seluruh jentera parti agar kekal fokus, bersatu dan terus mendekati rakyat.

“Kita mahu mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita,” katanya.

Tinggalkan komen