Pembangunan modal insan untuk semua: KESUMA

Oleh: Allen Xavier

KOTA KINABALU: Lebih 450 penduduk dari empat kampung tempatan termasuk Kampung Gaya, Kampung Lok Urai, Kampung Torong Logong dan Kampung Kesuapan, mengambil bahagian dalam siri sesi latihan khusus yang direka untuk wanita, belia dan pelajar.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata acara itu adalah sebagai  mencerminkan komitmen teguh kementerian dalam memastikan peluang pembelajaran sepanjang hayat dan latihan dapat diakses walaupun oleh komuniti yang terpencil.

“Semua pegawai dari setiap agensi di bawah KESUMA sentiasa turun padang ke kawasan pedalaman termasuk Pulau Gaya untuk memberi perkhidmatan yang sepatutnya termasuk latihan kemahiran.

“Ini termasuk bengkel keusahawanan gubahan bunga, pemasaran digital dan drop shipping, serta sesi motivasi untuk menginspirasi kecemerlangan akademik.

“Kita mahu semua rakyat diberikan kemahiran supaya mereka dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi. Apabila rakyat lebih mahir, negara juga akan menjadi lebih maju,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir dalam Program Komuniti ke Pulau Gaya melalui Program Sentuhan KESUMA Bersama HRD Corp di Bawah Bayu, di sini, hari ini.

Bersempena dengan acara tahunan utama HRD Corp, Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025, yang bertemakan ‘Pembelajaran Tanpa Sempadan’, inisiatif di Pulau Gaya ini merupakan satu refleksi objektif utama dalam memastikan akses yang saksama kepada peluang latihan berkualiti untuk semua, tanpa mengira lokasi atau latar belakang.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan dan Perindustrian, Datuk Phoong Jin Zhe dalam ucapannya turut menegaskan keperluan untuk membawa lebih banyak latihan kemahiran ke negeri Sabah agar dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

“Latihan kemahiran seumpama ini bukan sahaja dapat menyediakan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih tinggi, malah ia akan dapat menarik pelaburan secara besar-besaran ke negeri Sabah sekali gus mampu mengubah nasib rakyat secara menyeluruh,” ujarnya.

Steven turut menyampaikan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat berupa 700 jaket keselamatan untuk kegunaan penumpang bot harian, bakul makanan untuk 300 keluarga sekitar Pulau Gaya serta sumbangan wang tunai RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Gaya dan Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya.

Selain itu, HRD Corp juga akan melancarkan Minggu Latihan Kebangsaan atau National Training Week 2025 (NTW), dan memberikan kemahiran baharu sekurang-kurangnya kepada 5,000 penduduk.

“Untuk tahun 2025 ini, sasaran kita adalah untuk memberikan latihan kepada 60,000 peserta dari seluruh negeri Sabah, berbanding 15,000 pada tahun lalu,” katanya.

Tinggalkan komen