PEKIDA bentuk perpaduan Sabah: Salleh

PENAMPANG:  Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak memberitahu bahawa PEKIDA adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dilihat membawa peranan luas termasuk dalam membentuk perpaduan di kalangan rakyat Sabah.

“PEKIDA adalah sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang bukan sahaja berperanan dalam kebajikan, tetapi turut menjadi wadah penting dalam memelihara nilai Islam, memperkukuh institusi keluarga dan menangani cabaran sosial yang semakin kompleks.

“Dalam dunia hari ini, suara PEKIDA sangat diperlukan, bukan sekadar untuk berdakwah, tetapi untuk menjadi panduan moral dan agen perpaduan masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama PEKIDA Daerah Penampang di Dewan Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang, di sini, hari ini.

Salleh yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan turut mencadangkan agar PEKIDA memperluas peranannya dalam pembangunan belia melalui program jati diri dan kepimpinan.

“Perlu untuk PEKIDA luaskan lagi skop pembangunan belia, termasuk dengan menubuhkan dana kebajikan khas untuk membantu golongan memerlukan, serta membina jaringan kerjasama rentas kaum bagi mengukuhkan keharmonian di Sabah.

“Saya juga ingin menyarankan agar pertubuhan ini lebih proaktif dalam memanfaatkan media sosial sebagai medium dakwah dan menyantuni generasi muda secara kreatif dan berhemah.

“Dakwah mesti bersifat hikmah, lembut tetapi tegas, jelas tetapi tidak memaksa. Dalam konteks Sabah yang majmuk, pendekatan penuh kasih sayang adalah kunci kejayaan,” jelas Salleh lagi.

Mesyuarat itu dihadiri oleh pimpinan PEKIDA Negeri Sabah dan ahli PEKIDA dari seluruh Penampang.

Tinggalkan komen