KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa Sabah perlu terus bergerak ke hadapan dengan semangat kestabilan, kematangan dan kesederhanaan.
Katanya, hal itu selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru agar semua pihak tidak membangkitkan isu-isu yang boleh menghakis hubungan baik itu semata-mata untuk mendapatkan manfaat politik, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
“Sejarah politik Sabah membuktikan bahawa sebelum penyertaan parti-parti nasional, kita telah lama terperangkap dalam sistem yang pincang dan memecahbelahkan.
“Budaya politik ketika itu amat sempit dan bersifat “winner takes all”, di mana siapa menang akan membolot segalanya, manakala yang kalah bukan sekadar kehilangan kuasa, malah turut terpinggir sepenuhnya daripada arus pembangunan.
“Tiada budaya perkongsian kuasa atau perwakilan yang seimbang dan yang wujud hanyalah perebutan, pertelingkahan dan politik dendam kesemuanya merugikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Suhaimi, usaha awal untuk menyatukan kekuatan politik tempatan menerusi gabungan seperti USNO, UPKO dan SCA di bawah Sabah Alliance Party turut gagal apabila gabungan tersebut belum cukup kuat.
“Usaha ini juga gagal kerana gabungan ini masih bersifat longgar, rapuh dan tidak mampu mengurus jurang antara komuniti bumiputera Islam dan bukan Islam secara konstruktif.
“Lihat kembali sejarah Pilihan Raya Negeri pertama pada tahun 1967 yang menyaksikan USNO dan UPKO bertembung secara langsung, bukan sahaja gagal bersepakat dalam pengagihan kerusi, malah bertarung dalam suasana penuh curiga.
“Ia melahirkan perpecahan mendalam yang memanjangkan ketidaktentuan politik Sabah,” katanya lagi.
Tambah beliau, kehadiran parti-parti nasional seperti UMNO dan Barisan Nasional (BN) membawa sebuah perubahan yang amat diperlukan oleh Sabah.
“UMNO-BN bukan sekadar satu entiti politik dari Semenanjung, tetapi satu struktur yang membawa sistem, budaya dan pendekatan perkongsian kuasa yang lebih matang serta teratur.
“Salah satu contoh reformasi yang diperkenalkan ialah sistem penggiliran Ketua Menteri yang bertindak sebagai simbol keadilan politik.
“Di bawah sistem ini, jawatan tertinggi negeri berputar antara wakil bumiputera Islam, bumiputera bukan Islam dan masyarakat Cina satu pendekatan yang bukan hanya simbolik, tetapi juga berfungsi sebagai jaminan penyertaan semua komuniti dalam pembangunan negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Suhaimi juga memberitahu bahawa parti-parti tempatan yang menyertai BN tidak hilang identiti, sebaliknya bergabung dalam sebuah lambang dacing simbol keadilan dan perpaduan.
“Parti seperti PBS, UPKO dan LDP yang dahulunya berada di blok lawan turut akhirnya menerima keperluan untuk bersama dalam kerangka nasional.
“Penyatuan ini membawa kepada kestabilan politik yang lebih kukuh, membuka laluan kepada pembangunan yang lestari.
“Kestabilan ini menjadi prasyarat kepada pelbagai pencapaian penting pembangunan rangkaian jalan ke kawasan pedalaman, sistem air bersih dan bekalan elektrik di kampung-kampung terpencil, serta penubuhan institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.
Selain itu, Suhaimi juga menjelaskan bahawa segala usaha pembangunan negeri Sabah mampu dilaksanakan dengan harmoni dan aman jika hubungan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam keadaan saling mendukung.
“Ini semua hanya dapat dilaksanakan apabila Sabah berada dalam keadaan aman, tersusun dan saling menyokong antara kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Maka, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa parti nasional telah menyelamatkan Sabah daripada terus hanyut dalam politik puak yang memecahbelahkan. Mereka membawa kestabilan dan sistem perkongsian kuasa yang lebih adil.
“Rakyat Sabah turut mendapat tempat dalam pentadbiran Persekutuan termasuk enam Menteri Penuh dan tujuh Timbalan Menteri dalam sejarah penyertaan Sabah dalam BN, sebaliknya, ketika Sabah diperintah oleh parti-parti tempatan semata-mata, penyertaan Sabah dalam Kabinet Persekutuan menjunam hanya kepada satu Menteri Penuh dan satu Timbalan Menteri,” katanya lagi.
Suhaimi berkata, sentimen politik kenegerian yang terus dijadikan alat politik oleh sesetengah pihak demi keuntungan jangka pendek akan menyebabkan Sabah berisiko kembali terjerumus dalam kitaran perpecahan.
“Justeru, penyertaan dalam arus nasional bukanlah bentuk penyerahan, sebaliknya strategi bijaksana demi masa depan negeri.
“Oleh itu, saya menyeru agar semua pihak berpolitik secara beradab dan berasaskan realiti sejarah, jangan sempitkan fikiran kita untuk meraih undi, fikirkan masa depan dan kestabilan negeri ini,” ujar beliau lagi.
