Penjawat awam antara ditahan simpan dan edar air ketum

TAWAU: Empat lelaki warga tempatan termasuk seorang penjawat awam ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan Kampung Kinabutan Kecil, Batu 4, Jalan Apas, kerana disyaki terlibat dalam penggunaan serta penyimpanan dan pengedaran air ketum, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, serbuan yang dijalankan sekitar pukul 2.00 petang itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau menerusi hasil risikan dan maklumat awam. 

Katanya, ketika serbuan dijalankan, kesemua suspek berumur antara 23 tahun hingga 39 tahun ditemui sedang duduk di bawah rumah berkenaan.

“Pemeriksaan awal terhadap keempat-empat lelaki terbabit tidak menemukan sebarang barang salah, namun pemeriksaan lanjut menemukan tiga botol berisi cecair berwarna keperangan disyaki air ketum di atas sebuah meja.

“Susulan soal siasat terhadap salah seorang suspek, polis menemukan sebuah tong biru mengandungi 66 botol plastik 1.5 liter yang turut berisi cecair disyaki air ketum dengan jumlah keseluruhan isi padu lebih 101 liter air ketum dengan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM1,400,” katanya dalam kenyataan di lama sosial media Facebook Polis Daerah Tawau, malam tadi.

Menurutnya, suspek turut mengaku memproses sendiri air ketum sebelum dijual kepada penagih tempatan dengan harga RM20 sebotol, manakala dua lagi suspek mengaku terlibat dalam penagihan air ketum sejak setahun lalu.

Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Tinggalkan komen