Tidak pernah tutup ruang berbincang: Anwar

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perbincangan untuk kerjasama politik khasnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah sentiasa terbuka untuk semua pihak.

“Saya faham dan kita tidak pernah tutup ruang berbincang dan apa-apapun, hal yang utama adalah jalinan kerjasama politik kerana itu yang penting.

“Sistem politik yang stabil dan hubungan yang rapat dengan Kerajaan Persekutuan penting jika kita mahu memperjuang nasib negeri Sabah ini.

“Hubungan antara negeri dan persekutuan harus dijalin dengan erat, mesti ada kepercayaan antara satu sama lain,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui dalam sesi sidang media selepas Pertemuan bersama Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah di sini, malam tadi.

Menurut Anwar yang juga merupakan Presiden PH, aspek yang perlu menjadi fokus adalah usaha membela nasib negeri dan rakyat Sabah.

“Saya yakin jika ada hubungan baik sebegini, dan kita fokus pada usaha untuk bela nasib negeri dan rakyat Sabah, hubungan baik bagi kedua-duanya penting.

“Seperti hubungan baik kita dengan negeri lain, misalnya Sarawak, dan untuk Sabah, kita ambil maklum keutamaan perjuangan MA63, dan ini adalah kesungguhan kita.

“Hal yang sudah tertangguh selama puluhan tahun, malah isu-isu yang lebih berat seperti isu minyak, kita tengok dan selesaikan dengan Sarawak, jadi kita usulkan prinsip yang sama, berkaitan soal ketelusan, soal tatakelola yang menjadi keutamaan, bukannya untuk pemimpin itu sendiri merebut kekayaan, tetapi untuk membela serta mempertahan hak Sabah, termasuk dari serangan Sulu, kita tepis dan kalahkan tuntutan mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar turut memberitahu bahawa kepimpinan PH Sabah diberikan tanggungjawab untuk berbincang dan berunding dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).

“Kita serahkan kepada PH Sabah untuk menentukan keutamaan dari segi strategi, manifesto, kawasan dan untuk mereka putuskan juga perihal calon.

“Ini tujuan utama pertemuan malam ini, untuk mendengar pandangan mereka dan pandangan-pandangan ini yang saya bawa ke rakan-rakan di peringkat Pusat,” katanya. 

Tinggalkan komen