KOTA KINABALU: Pengguna tong Gas Petroleum Cecair (LPG) tidak melebihi 42 kilogram atau tiga tong gas bersubsidi bersaiz 14 kilogram pada satu-satu masa adalah tidak tertakluk kepada syarat memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual.
“Sebagaimana yang diperjelaskan oleh YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pelaksanaan OPS GASAK bermula 1 Mei 2025 hingga 31 Oktober 2025 akan menumpukan kepada penguatkuasaan ketirisan subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) pada dua komponen iaitu untuk membanteras penyelewengan melalui aktiviti haram decanting iaitu pemindahan LPG dari tong bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi untuk jualan komersial dan penyeludupan.
“Selain itu, ia juga bagi mengekang penggunaan LPG bersubsidi kepada industri berskala sederhana dan besar,” kata Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup, Datuk Azam Adam dalam sebuah kenyataan media, di sini, petang tadi.
Menurut beliau, mana-mana perniagaan yang menggunakan LPG melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa adalah dinasihati untuk membuat permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual.
“Permohonan boleh dibuat melalui Business Licensing Electronic Support System (BLESS) 2.0, dan pihak-pihak yang berkenaan juga boleh merujuk kepada KPDN Negeri dan Cawangan berdekatan untuk mendapatkan panduan dan penerangan lanjut.
“Pemeriksaan penguat kuasa KPDN di premis-premis jualan makanan dan minuman kini adalah pada peringkat advokasi, semakan dan pemakluman tanggungjawab pematuhan kepada undang-undang dan peraturan sedia ada akan dibuat bagi memastikan peringatan diberikan kepada mereka yang terlibat.
“Pada masa yang sama, sepanjang tempoh OPS GASAK, para pembekal LPG dibenarkan untuk terus membuat pembekalan tong LPG bersubsidi kepada pelanggan sedia ada termasuk para peniaga perkhidmatan jualan makanan dan minuman sungguhpun mereka belum memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB,” katanya.
Sebarang pertanyaan berhubung perkara tersebut boleh disalurkan melalui pesanan aplikasi WhatsApp ke nombor 019-641 6768.
