PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberitahu bahawa agenda pembangunan Sabah akan lebih berkesan dengan kerjasama utuh diantara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Saya yakin hubungan yang kukuh dan erat dengan Kerajaan Persekutuan mampu menjadi faktor kejayaan dasar pembangunan negeri Sabah.
“Kerjasama ini penting untuk memastikan rakyat negeri Sabah terus memperoleh manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa sambutan Pesta Kaamatan peringkat Sabah 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, pagi tadi.
Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Hajiji, perhatian yang diberikan oleh Anwar kepada negeri Sabah adalah bukti komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap negeri Sabah.
“Terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kehadiran beliau, yang menyempurnakan perasmian sambutan Pesta Kaamatan dan ini adalah bukti komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah.
“Pesta Kaamatan tahun ini membawa tema ‘Kaamatan untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan’ yang mana ini juga menandakan sambutan ke-65 sejak mula diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1960.
“Sambutan ini bukan sekadar sambutan budaya, ini adalah semangat muhibah dan harmoni untuk keharmonian negeri, ini simbol perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah yang mesti kita dipertahankan kerana Kaamatan bukan cuma milik satu kaum semata-mata, tetapi milik semua rakyat Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji juga memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam usaha memperkasa pembangunan sosioekonomi luar bandar melalui pelbagai pendekatan strategik, termasuk pertanian moden, galakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pembangunan pelancongan komuniti.
“Ini adalah teras penting dalam misi menjana kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan inklusif di bawah kerangka dan Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” jelasnya lagi.
Hajiji turut menyeru agar komuniti luar bandar terus diberi peluang ekonomi sama ada melalui pertanian moden, pelancongan berasaskan komuniti atau latihan kemahiran.
“Ini bukan sahaja membolehkan mereka menambah pendapatan, tetapi juga membantu untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.
“Pengaktifan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah turut bertujuan menyokong keterjaminan makanan melalui peningkatan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras tempatan.
“Untuk tahun 2026, kita letak sasaran 30 peratus tahap sara diri beras, dan 60 peratus menjelang tahun 2030, sekaligus mampu untuk mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh bekalan makanan tempatan,” ujar beliau lagi.
Hadir sama dalam majlis sambutan itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Dr. Joachim Gunsalam dan Presiden KDCA, Tan Sri Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.
