Latih anak Sabah dari awal, libat sektor ekonomi minyak dan gas: PM

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar generasi muda dan anak tempatan Sabah didedahkan dengan pendidikan dan latihan awal dari peringkat pengajian di universiti mahupun institusi kemahiran, untuk menyediakan mereka ke alam pekerjaan.

“Mesti mulakan usaha latih mereka baik dari peringkat di universiti mahukan institusi kemahiran Teknologi Vokasional (TVET), latih dan beri pendedahan kepada mereka.

“Kita perlu lebih fleksible dan beri ruang untuk mereka masuk supaya mereka boleh bergraduasi dan mempunyai sijil yang kelak mampu untuk memenuhi keperluan industri,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Fasa Pertama Projek Esteel bernilai RM6.4 bilion di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Menurut Anwar lagi, tenaga kerja baru perlu didedahkan dan diberi latihan sewajarnya supaya mereka mampu kembali sebagai seorang yang berkebolehan dalam kapasiti pekerjaan mereka.

“Ini tidak ada kompromi, kita mesti pandang serius berkenaan masa depan generasi baru kita yang kelak, apabila mereka mendapat latihan wajar, maka mereka akan kembali dengan memegang posisi yang sesuai misalnya jurutera dan sebagainya,” katanya lagi.

Selain itu, Anwar turut menyatakan bahawa kestabilan politik negara turut menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan Malaysia dalam menarik pelabur daripada luar dalam pelbagai sektor ekonomi.

“Hal ini dimungkinkan kerana sistem politik negara yang stabil dan ini menggalakkan pelaburan luar masuk, kerana pelabur tertarik dan yakin dengan kecekapan serta prestasi negara kita.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek itu berpotensi untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat, di seluruh Sabah.

“Saya mahu semua pemain industri melabur dalam latihan dan pembangunan tenaga kerja tempatan kita dan mematuhi keperluan asas ini sebagai prinsip utama komitmen kita terhadap pembangunan tempatan kerana usaha kolektif ini adalah penting untuk memastikan bahawa tenaga kerja tempatan kita mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri.

“Seperti yang kita tahu, taman-taman perindustrian yang sedia ada iaitu Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Taman Industri Kota Kinabalu (KKIP) telah menunjukkan peningkatan kadar penghunian dalam tempoh empat tahun yang lalu.

“Akibat permintaan yang tinggi daripada pelabur, Kerajaan Negeri telah meluluskan tiga taman industri baru di Kota Belud, Beaufort dan Kudat untuk Taman Industri Ekonomi Biru,” katanya.

Tinggalkan komen