Bersatu semula demi rakyat: Salleh 

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata ramai pemimpin yang mempunyai matlamat sama untuk membela rakyat dan membangun negara masa kini bertelagah hanya disebabkan kerana perbezaan pendekatan.

“Tapi cara dan pendekatan berbeza, lalu timbul perbezaan pandangan dan kadang-kadang, kesetiaan kepada parti menghalang kerjasama walaupun niat sama kerana parti tetap diutamakan.

“Persaingan jawatan dan pengaruh juga jadi punca terutama apabila kepentingan peribadi mendahului kepentingan rakyat, perbalahan sukar dielak,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah hantaran di laman media sosial Facebook miliknya, di sini, hari ini,

Menurut Salleh lagi, faktor lain juga adalah berkait rapat dengan suara penyokong dan penasihat.

“Suara dari penyokong dan penasihat juga beri tekanan kerana ada yang mahu berkompromi, tapi dihalang oleh sekeliling yang lebih keras.

“Bila tidak biasa berbincang dengan terbuka dan ikhlas, mudah timbul prasangka, kerana itu musyawarah jadi lemah, sengketa makin melebar.

“Inilah yang menimbulkan ketegangan politik sementara waktu, misalnya masa pilihan raya, bila sudah selesai, semua kembali kepada bidang dan fokus tugas masing-masing seperti biasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Salleh juga menjelaskan bahawa walaupun berlaku ketegangan dalam perbezaan pandangan kerana parti, namun hubungan peribadi antara pemimpin biasanya tetap baik.

“Mereka pernah berkawan, bekerja bersama, dan tahu had masing-masing.

“Dalam politik, tiada musuh yang kekal dan apa yang berlaku hari ini boleh berubah esok demi keperluan dan kestabilan.

“Kita sedia maklum juga kerana kita tahu rakyat pula mahu pemimpin bersatu dan mereka harapkan kematangan, bukan permusuhan yang berpanjangan,” jelasnya lagi.

Salleh juga berkata, perbezaan adalah perkara biasa untuk semua rutin kehidupan manusia khasnya komuniti tetapi, apa yang perlu adalah wujudkan persaingan sihat, sekaligus berlapang dada untuk bersatu demi kepentingan serta keperluan rakyat.

Tinggalkan komen