Iklan di kawasan pentadbiran perlu permit sah: DBKK

KOTA KINABALU: Semua pemasangan iklan termasuk di kawasan pentadbiran memerlukan kelulusan dan permit sah daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), dan notis peringatan akan dikeluarkan kepada peniaga atau pemilik premis sebagai langkah awal pematuhan.

“DBKK ingin menekankan bahawa walaupun peruntukan undang-undang tidak mewajibkan pemberian notis sebelum kompaun dikenakan, pihak DBKK lazimnya akan mengeluarkan notis peringatan terlebih dahulu kepada peniaga dan pemilik premis sebagai langkah awal pematuhan.

“Ini adalah sebagai pemberitahuan dan bukti keprihatinan pihak DBKK dalam mengambil pendekatan berhemah dan bersifat mendidik,” katanya dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, semua bentuk pemasangan iklan seperti sepanduk, banting, papan tanda premis atau papan arah di kawasan pentadbiran DBKK adalah tertakluk di bawah Kota Kinabalu Municipal Council (Advertisement) By-laws, 1983 iaitu undang- undang ini telah lama diwarta sejak 42 tahun yang lalu dan masih berkuat kuasa hingga hari ini.

“DBKK mengambil perhatian bagi setiap aduan dan rungutan segelintir pihak berkaitan penguatkuasaan terhadap pemasangan iklan tanpa permit di sekitar bandaraya dan kita ingin maklumkan bahawa setiap tindakan yang diambil adalah tertakluk kepada peraturan sedia ada dan kita akan melaksanakannya secara telus, adil dan untuk kebaikan semua pihak.

“Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), DBKK hanya menjalankan tanggungjawab untuk memastikan peraturan dipatuhi oleh semua secara telus dan langkah ini penting bagi mengekalkan persekitaran bandar raya yang tersusun, bersih dan bebas daripada lambakan iklan yang tidak terkawal demi kepentingan seluruh komuniti,” katanya. 

DBKK turut mengambil beberapa inisiatif untuk membantu para peniaga dalam memudahkan urusan mendapatkan lesen iklan.

Antaranya ialah penyebaran maklumat melalui media sosial rasmi, penerangan semasa proses permohonan lesen perniagaan, serta penyediaan talian khas untuk sebarang pertanyaan berkaitan pemasangan iklan.

Pihak DBKK turut menghargai kerjasama dan sumbangan para peniaga kepada pembangunan ekonomi bandar raya.

“Kami menyeru semua pihak untuk terus bekerjasama dengan memastikan sebarang pemasangan iklan dilakukan mengikut prosedur yang sah agar persekitaran Kota Kinabalu kekal harmoni, kemas dan teratur.

“Sebarang pertanyaan lanjut ataupun permohonan rayuan berkaitan lesen iklan, sila hubungi Jabatan Pelesenan (Bahagian Iklan), DBKK di talian 088-521800,” katanya lagi.

Tinggalkan komen