KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru rakyat untuk sentiasa menghormati perbezaan untuk mengekalkan ikatan perpaduan yang lebih kuat.
Katanya, ikatan perpaduan akan lebih utuh dan stabil jika rakyat terus bersatu, tanpa melihat perbezaan.
“Saya ingin menyeru kepada rakyat untuk terus bersama kerajaan sebagai rakan kongsi untuk perkuatkan perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kelancaran pembangunan negeri yang tercinta ini.
“Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun pada bulan Mei bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama tetapi juga untuk menyatakan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik.
“Namun lebih daripada itu, Kaamatan adalah cerminan keharmonian dan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat Sabah, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Sambutan Pesta Kaamatan 2025, di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, sambutan Kaamatan kali ini yang bertemakan “Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan MontokToinsanan’, adalah tema yang membawa mesej mendalam dan inklusif.
“Tema ini jelas menyatakan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti, tetapi satu perayaan bersama yang merangkumi semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan, Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan kepada seluruh masyarakat yang meraikannya,” ujar beliau lagi.
