KOTA MARUDU: Festival Kaamatan Sekolah (FESKA) 2025 yang berlangsung meriah di SK Pekan Lama Kota Marudu membuktikan bahawa warisan budaya perlu menjadi asas dalam membentuk jati diri dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata FESKA 2025 adalah sebuah platform yang bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform pendidikan nilai dan kasih terhadap warisan budaya tempatan.
“Dalam dunia yang serba moden ini, mengekalkan identiti budaya bukan sahaja penting, malah satu amanah. FESKA 2025 adalah satu manifestasi cinta terhadap budaya KDMR. Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus. Ia juga menyatukan pelajar pelbagai kaum di bawah satu bumbung perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Festa Kaamatan di SK Pekan Lama Kota Marudu, Kota Marudu kemarin.
Dengan tema “Kaamatan untuk Semua”, sambutan ini menyerlahkan mesej keterangkuman dan menghargai kepelbagaian, sesuai dengan latar belakang pelajar SK Pekan Lama yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Antara pengisian program termasuk pertandingan bercerita dalam bahasa KDMR, Sugandoi, persembahan pakaian tradisional dan lain-lain.
“Anak-anak yang menyertai program ini bukan sahaja belajar tentang budaya mereka sendiri, tetapi juga nilai seperti semangat kerjasama, keyakinan diri, hormat-menghormati dan kebanggaan menjadi anak Sabah,” tambah beliau lagi.
Sebagai Pengerusi Persatuan Inspirasi Wanita Sabah, Redonah turut menekankan kepimpinan guru-guru wanita dalam menjayakan program ini sebagai satu contoh teladan buat masyarakat.
Beliau turut mengingatkan pelajar agar tidak melupakan pelajaran dan budaya walaupun dunia kini dikelilingi oleh teknologi dan permainan dalam talian.
“Gunakan teknologi dengan bijak, tetapi jangan sesekali melupakan akar budaya sendiri. Jadilah generasi celik teknologi, tetapi berjiwa Sabah,” jelasnya lagi.
FESKA 2025 berjaya menjadi wadah pendidikan dan perpaduan yang cemerlang, menyatukan seluruh komuniti SK Pekan Lama Kota Marudu dalam meraikan warisan negeri tercinta.
