Sabah bukan pentas drama politik kenegerian: Bung Moktar

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa Sabah bukanlah sebuah negeri yang dianggap sebagai pentas drama politik khususnya dengan melaungkan semangat kenegerian.

“Sabah bukan tempat untuk uji kaji politik individu, Sabah bukan pentas untuk drama bertopeng semangat kenegerian, Sabah memerlukan pemimpin yang tahu membezakan antara kuasa dan tanggungjawab, antara suara rakyat dan keinginan peribadi,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Bung, semangat juang dan cinta tanah air sememangnya menjadi nadi perbincangan politik di Sabah namun ianya harus selari dengan usaha untuk berdikari dan semangat juang dalam membela hak anak negeri.

“Saya mengiktiraf dan menghargai semangat perjuangan tempatan yang telah lama menjadi nadi perbincangan politik di Sabah dan sentimen cintakan negeri ini, suara mahu berdikari, dan hasrat untuk membela hak anak negeri itu semua adalah naluri yang luhur dan wajib diraikan.

“Semangat semata-mata tidak cukup kalau jika tidak ada makna kejujuran politik, kematangan dalam susun atur strategi dan satu hati dalam mencari keputusan.

“Mana boleh terus menerus ‘jual’ semangat tempatan dalam slogan politik tanpa ada hasil yang jelas yang bermanfaat kepada rakyat negeri ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Bung turut menjelaskan bahawa usaha untuk mencapai pembangunan besar dan memberi manfaat kepada rakyat adalah dengan bergabung bersama kuasa yang berstruktur dan tersusun.

“Hanya melalui gabungan kuasa yang tersusun dan berskala nasional seperti Barisan Nasional (BN) kita mampu membawa pembangunan besar, melindungi hak negeri melalui saluran persekutuan, dan menjamin kestabilan jangka panjang.

“Apa gunanya melaungkan “parti tempatan” jika gagal menyatukan suara, gagal mengekalkan kestabilan, dan gagal membela rakyat ketika diberi kuasa? Soalan ini perlu dijawab bukan dengan pidato emosi, tetapi dengan rekod pencapaian dan di situlah letaknya perbezaan antara kita dan mereka.

“UMNO Sabah kekal teguh dalam perjuangan untuk rakyat. Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita membawa pengalaman, kestabilan, dan kemampuan sebenar untuk mentadbir,” jelasnya lagi.

Bung turut menyelar tindakan pemimpin yang berterusan memainkan sentimen membela Sabah melalui parti tempatan.

Katanya lagi, UMNO Sabah tidak akan tunduk kepada permainan emosi yang menipu rakyat dan percaya kekuatan Sabah bukan pada memencilkan diri, tetapi pada kebijaksanaan menjalin kekuatan dalam struktur nasional. 

“Realitinya, gagasan “parti tempatan” yang dibawa Jeffrey Kitingan  sejak dulu, hanyalah topeng untuk kelangsungan politik peribadi beliau dan agenda ini bukan tentang rakyat.

“Ia tentang mengekalkan pengaruh dalam kelompok kecil, walaupun dengan menumpang pentas parti nasional lain yang pernah beliau kecam. Bukankah ini bentuk hipokrasi politik yang paling nyata?

“Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 30 September 2024 menunjukkan bahawa Sabah kini mempunyai 19 parti tempatan yang berdaftar. Jika benar beliau jujur dalam memperjuangkan suara tempatan, mengapa masih gagal menyatukan 19 parti ini di bawah satu panji?… adakah beliau lupa bahawa beliau pernah menjadi ahli UMNO pada 2003 sebelum beliau menyertai PKR pada 2006?,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen