Ambil iktibar, jangan sampai pemimpin negeri lain bersuara: UMNO Sabah

KOTA KINABALU: Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman berkata campur tangan tidak rasmi oleh Ketua Menteri Sarawak adalah satu pengajaran yang perlu dipandang serius oleh pemimpin tempatan di Sabah.

“Jika pemimpin Sabah gagal membela rakyat sendiri, maka jangan hairan jika pemimpin dari negeri lain tampil menjadi suara kepada rakyat Sabah, dan kelemahan tadbir urus kerajaan negeri Sabah amat memalukan hingga Ketua Menteri Sarawak terpaksa masuk campur isu air di Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) Sabah memandang serius kegagalan berterusan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menangani isu asas seperti bekalan air bersih, khususnya di institusi penting seperti UMS.

“Lebih memalukan, kegagalan ini telah sampai ke tahap di mana Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri terpaksa masuk campur secara tidak rasmi untuk membantu menyuarakan masalah rakyat Sabah kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

“Apakah ini bukan satu tamparan besar kepada kewibawaan Kerajaan Negeri Sabah?,” katanya lagi.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Premier Sarawak hari ini, Tan Sri Abang Johari memaklumkan bahawa beliau akan membawa isu air di UMS kepada perhatian Menteri Pengajian Tinggi, walaupun perkara itu di luar bidang kuasa beliau secara langsung. 

“Ini jelas menunjukkan keprihatinan dan sikap tanggungjawab seorang pemimpin negeri yang cakna terhadap rakyat walaupun mereka berada di negeri jiran.

“Sebaliknya, Kerajaan Negeri Sabah yang kononnya memperjuangkan “Sabah Maju Jaya” terus gagal memberikan penyelesaian menyeluruh terhadap isu air yang telah berlarutan bertahun-tahun lamanya.

“Lebih memalukan, mahasiswa UMS termasuk anak-anak Sarawak terpaksa bergelut bukan mencari ilmu tetapi mencari air, sampai bila masalah ini akan berterusan dan apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri? tidak ada penyelesaian tuntas,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu air adalah isu lama yang sudah wujud di Sabah dan masih belum ada pelan strategik yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri masa kini untuk mengatasi masalah itu.

“UMS adalah institusi pengajian tinggi utama di Sabah dan bila berlaku kegagalan membekalkan air bersih kepada UMS, ini seolah-oleh memberi gambaran tentang kegagalan Kerajaan Negeri mengurus keperluan asas rakyat dan pendidikan,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen