Tanaman koko perlu diceburi ramai petani: KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ingin melihat lebih ramai petani menceburi penanaman koko dan memperluas 3,000 hektar tanah yang sudah diusahakan di Sabah.

Katanya terdapat peningkatan permintaan antarabangsa bagi produk koko Malaysia, dengan nilai eksport mencapai rekod RM15.06 bilion tahun lalu, tiga kali ganda berbanding tahun 2023.

“Kita bangga bahawa Sabah telah memainkan peranan penting dalam kejayaan ini, menyumbang lebih 60 peratus daripada pengeluaran koko negara.

“Saya gembira bahawa kira-kira 3,000 petani koko di daerah Ranau, Tenom, Kota Marudu, Keningau dan Kuamut telah mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Koko yang diadakan sempena dengan Pameran Koko Antarabangsa Malaysia 2025 (MICF 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, malam ini.

Ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan.

Menurut Hajiji, acara itu amat penting bagi Sabah dan mencerminkan peranan besar negeri dalam industri koko Malaysia.

“Usaha Lembagai Koko Malaysia menggerakkan acara berskala besar seumpama ini harus diberi pujian kerana ini adalah memberi satu imej positif kepada negeri Sabah.

“Saya amat berharap, semoga Pameran Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) dan majlis makan malam ini akan membawa manfaat yang berkekalan, dari perkongsian dan pelaburan baru kepada peningkatan kesedaran global mengenai kekuatan Sabah, bukan sahaja sebagai negeri pengeluar koko utama di Malaysia, tetapi juga sebagai destinasi untuk perniagaan, pelancongan dan kebudayaan.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada semua pempamer antarabangsa dan pengeluar koko, usahawan dan PKS tempatan, institusi akademik, dan kepada penaja dan rakan kongsi, baik dari Malaysia mahupun luar negara, yang telah menjayakan MICF 2025 ini,” ujar beliau lagi.

Majlis makan malam yang dihadiri kira-kira 1400 tetamu itu turut diserikan dengan persembahan tarian tradisi etnik Sabah dan penyanyi tempatan serta penyanyi Sabah yang mengharumkan nama di persada seni tanah air, Marsha Milan.

Tinggalkan komen