Semua kerusi adalah hak rakyat, bukan parti politik: YTL

KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee berkata isu perebutan kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah tidak seharusnya berlaku kerana dalam aspek demokrasi semua kerusi adalah milik rakyat, dan bukan dimiliki oleh parti politik.

“Saya mula jemu lihat isu perebutan kerusi di kalangan parti politik, termasuk yang dari seberang laut, seolah-olah kerusi itu milik mereka.

“Rakyat ingin tahu apakah isu yang diperjuangkan parti politik, apakah yang rakyat boleh harapkan daripada parti dan pemimpin sekiranya mereka menang, setakat ini, orang ramai termasuk saya sendiri tidak tahu apa yang diperjuangkan oleh sesetengah parti dan pemimpin politik.

“Setakat ini, ahli politik hanya bercakap tentang kerusi, kerusi, dan lebih banyak kerusi, sepertinya tidak kedengaran isu-isu untuk pilihanraya Sabah akan datang?,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, aspek utama yang perlu difokuskan oleh pemimpin adalah untuk membentuk landskap politik yang sihat dan matang, demi memastikan pembangunan Sabah dan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Jangan jadi seperti ‘anjing bubut kereta’ yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas anjing itu dapat mengejar kereta.

“Tidak seperti era pra-2008 Kerajaan Persekutuan yang dominan berpusatkan Malaya, landskap politik Malaysia baharu hari ini membolehkan Sabah dan Sarawak menuntut autonomi,” katanya. 

Tegasnya lagi, hal yang perlu menjadi agenda dalam perjuangan pemimpin Sabah khususnya adalah hal yang berkepentingan kepada negeri Sabah dan bukannya mengejar kerusi semata-mata.

“Pihak manakah yang berani memperjuangkan bahawa tuntutan hasil bersih 40 peratus, ialah RM2.6 bilion setahun dan bukan RM600 juta setahun?

“Pihak manakah yang akan komited melakukan reformasi tanah untuk rakyat Sabah supaya rakyat Sabah tidak menjadi tidak bertanah pada masa kini dan akan datang?,” katanya. 

Tinggalkan komen