KOTA KINABALU: Perkhidmatan feri penumpang antara Kota Kinabalu dan Labuan kembali beroperasi selepas beberapa tahun terhenti, sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan laut dan membuka semula laluan penting kepada mobiliti rakyat serta perkembangan ekonomi rentas wilayah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pembukaan semula operasi feri itu adalah satu langkah logistik dan bukti keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat di Sabah dan Labuan.
“Perkhidmatan feri ini penting untuk rakyat, baik dari segi laluan perhubungan, penghubung kekeluargaan, pendidikan, pelancongan dan perniagaan.
“Ini sudah menjadi kebiasaan sejak dulu dan pengoperasian semula ini adalah langkah bijak yang kita buat, untuk rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir dalam Majlis Pelancaran Jeti dan Perasmian Feri Penumpang Kota Kinabalu- Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Menurut Hajiji lagi, gangguan yang berlaku terhadap perkhidmatan feri sebelum ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor dan antaranya adalah faktor keselamatan.
“Struktur jeti yang tidak selamat, penarikan subsidi minyak kepada pengusaha dan yang paling memberi impak adalah kesan daripada pandemik Covid-19 yang kita sedia maklum mengganggu kesinambungan mobiliti rakyat.
“Sebagai langkah penyelesaian segera, terminal feri dipindahkan dari Jesselton Point ke Pelabuhan Kota Kinabalu, dengan pengurusan operasi kini dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Pelabuhan Kota Kinabalu, yang mana projek ini turut menerima peruntukan RM1.3 juta daripada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi kerja-kerja penambahbaikan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat termasuk Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kumpulan Suria yang telah berganding bahu merealisasikan inisiatif ini,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Hajiji juga memberitahu bahawa perkhidmatan feri itu dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan negeri, terutama menjelang Tahun Melawat Sabah 2026.
“Kita jangka dan kita harap dengan operasi yang dibuka semula ini, mampu membuka peluang baru dalam perkembangan perdagangan dan pelabuhan bagi Sabah dan Labuan,” katanya.
Tambah Hajiji lagi, hubungan antara Sabah dan Labuan tidak hanya terbatas kepada aspek geografi, tetapi turut mencakupi sejarah, budaya dan hubungan sosial yang mendalam.
“Kita mempunyai hubungan tanpa sempadan dan laluan ini sangat signifikan bagi rakyat kedua-dua wilayah.
“Ramai rakyat Sabah bekerja dan menetap di Labuan, dan sebaliknya. Justeru, sambungan semula laluan ini amat bermakna kepada ramai pihak.
“Rakyat kini mempunyai lebih banyak pilihan pengangkutan, sama ada menggunakan laluan udara, jalan darat ke Menumbok atau terus melalui feri ekspres dari Kota Kinabalu ke Labuan seperti sebelum ini,” tambahnya lagi.
Pelancaran itu turut menjadi penanda aras kepada permulaan rangka kerja pengangkutan laut yang lebih kukuh, cekap dan lestari.
“Ini sesuai dan seiring dengan aspirasi negeri, yang mana kita ingin menyediakan kemudahan mesra rakyat dan juga mesra alam untuk generasi akan datang.
“InsyaAllah, Kerajaan Negeri akan terus komited untuk memastikan tidak ada rakyat yang terpinggir kerana kekangan logistik, dan kita akan terus berusana untuk membangunkan infrastruktur demi kemajuan inklusif.
“Semoga jeti dan perkhidmatan feri ini menjadi jambatan yang menghubungkan bukan sahaja wilayah, tetapi juga silaturahim, peluang ekonomi dan harapan masa depan rakyat,” ujar Hajiji lagi.
