Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Tujuh acara utama disusun bagi mewarnai Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, yang dijangka berlangsung pada Jun ini.
Timbalan Ketua Menteri, merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata persiapan bagi sambutan itu sudah dimulakan sejak Februari oleh Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelaksana untuk memastikan semua acara berjalan lancar dengan penuh istiadat.
“Sambutan ulang tahun rasmi ini merupakan acara tahunan negeri yang bukan sahaja bertujuan memberi penghormatan kepada TYT, tetapi juga mencerminkan kesatuan serta semangat cintakan negeri dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa sesi sidang media Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah yang berlangsung di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, tengah hari tadi.
Menurut Joachim yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, semua pihak yang turut serta dalam menjayakan acara itu memberikan komitmen jitu dan fokus untuk menyampaikan mesej simbolik untuk dirasai oleh rakyat.
“Saya amat berbangga dengan komitmen semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan ini. Kita mahu acara ini bukan sekadar simbolik, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat.
“Acara utama yang menjadi tumpuan ialah Istiadat Perbarisan dan Perarakan yang akan berlangsung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu dan acara kemuncak itu bakal menyaksikan penyertaan lebih 80 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah.
“Selain itu, penyertaan menyeluruh ini juga adalah bukti semangat kesatuan serta perpaduan harmoni rakyat Sabah terhadap kepimpinan negeri,” katanya.
Joachim juga memberitahu, raptai penuh akan dijalankan beberapa hari sebelum acara utama untuk memastikan kelancaran perbarisan.
“Saya sendiri akan hadir menyaksikan dan menilai tahap kesiapsiagaan semua pihak yang terlibat terutamanya raptai penuh, sebagai komitmen terhadap kejayaan sambutan ini.
Turut termasuk dalam tujuh acara utama ialah penganjuran Sidang Media Khas, yang kini menjadi acara rasmi sambutan bagi membolehkan komunikasi langsung antara Jawatankuasa Pelaksana dan pihak media.
Tambah Joachim, sidang media tersebut penting untuk memastikan maklumat tepat disampaikan kepada rakyat, di samping menghargai peranan media dalam menjayakan program kerajaan.
Acara keempat ialah Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Negeri yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin negeri, wakil diplomatik, ketua jabatan dan wakil-wakil masyarakat dalam suasana penuh muhibah dan penghormatan.
Majlis itu juga menjadi wadah meraikan jasa dan sumbangan pelbagai pihak dalam memacu pembangunan serta kestabilan negeri Sabah.
“Acara kelima pula berbentuk keagamaan iaitu Program Kerohanian dan Doa Selamat yang diadakan sebagai tanda kesyukuran serta mendoakan kesejahteraan TYT, Yang Berbahagia Toh Puan serta seisi keluarga.
“Kita sedia maklum bahawa elemen kerohanian penting bagi menyemai nilai-nilai keharmonian dan keinsafan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” katanya.
Joachim turut memberitahu bahawa pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri turut akan melaksanakan acara keenam iaitu pemasangan papan iklan ucapan ulang tahun di kawasan masing-masing sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap kepimpinan TYT, bermula Jun ini.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi suasana sambutan di peringkat daerah, tetapi juga menonjolkan komitmen PBT terhadap perpaduan negeri,” katanya.
Acara ketujuh pula melibatkan pengisian berbentuk komuniti dan kebudayaan, antaranya persembahan kesenian, aktiviti hiburan rakyat serta program interaktif yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
“Acara ini bukan sahaja memperkukuh jati diri rakyat Sabah, tetapi juga memupuk semangat kekitaan dan kebanggaan terhadap warisan negeri,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh rakyat Sabah untuk hadir beramai-ramai ke Padang Merdeka pada 1 Jun ini bagi menyaksikan sendiri acara utama sambutan yang akan bermula seawal pukul enam pagi.
“Saya menyeru semua rakyat tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama memeriahkan sambutan ini sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang kepada pemimpin tertinggi negeri kita,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat agar sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan TYT, Yang Berbahagia Toh Puan dan keluarga agar sentiasa dilindungi dan diberkati.
“Kepimpinan TYT yang berwibawa, prihatin dan bersifat menyeluruh dalam menjaga kebajikan rakyat wajar dijadikan teladan oleh semua,” katanya.
Hadir sama semasa sesi sidang media itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Dr. Jamili Nais, Setiausaha Sulit kepada TYT Izharudin Jalaludin, Pengarah Penyiaran Sabah Mohd Yusni Mohamed Ali, Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor serta pegawai Kementerian, dan warga Kementerian Komunikasi.
