Tiga lelaki ditahan, terlibat judi sabung ayam

PENAMPANG: Tiga lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 64 hingga 74 tahun berjaya ditahan kerana terlibat dengan aktiviti perjudian sabung ayam oleh Polis Daerah Penampang melalui Ops Dadu di satu kawasan bebas, di Kampung Sarapung Kolopis, di sini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata tangkapan itu dibuat selepas pihak polis membuat serbuan lebih kurang pukul 4.30 petang, terhadap sekumpulan individu yang dilihat sedang berkumpul disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian sabung ayam.

“Tiga lelaki berjaya ditangkap tetapi selebihnya berjaya melarikan diri.

“Pihak polis turut merampas empat ekor ayam hidup, tiga unit sangkar ayam, seunit gelanggang sabung ayam dan wang tunai sebanyak RM319.00,” katanya dalam kenyataan di sini, petang tadi.

Kesemua suspek dan rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa hukuman denda atau penjara, jika disabitkan kesalahan.

Tinggalkan komen