LAHAD DATU: Tiga lelaki ditahan kerana disyaki memiliki dan menyalahgunakan dadah jenis syabu dalam satu operasi Op Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sekitar Jalan Pantai dan Kampung Puyut.
“Suspek pertama yang merupakan lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan bersama 0.07 gram syabu, manakala suspek kedua, warga Filipina berumur 26 tahun tanpa dokumen pengenalan diri, didapati memiliki 0.14 gram syabu.
“Hasil saringan air kencing turut mendapati suspek positif amfetamin dan metafetamin,” kata kenyataan dalam laman Facebook Polis Daerah Lahad Datu di sini, pagi ini.
Dalam pada itu, suspek ketiga yang ditahan juga lelaki tempatan berusia 33 tahun, bertindak agresif dan cuba melarikan diri sebelum berjaya diberkas.
Polis merampas 0.15 gram syabu serta sehelai kertas foil yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah.
Ujian air kencing ke atas suspek turut menunjukkan keputusan positif dadah jenis amfetamin dan metafetamin.
Ketiga-tiga suspek ditahan dan permohonan reman akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut.
