Selagi GRS ada majoriti yang stabil, tiada masalah: Joachim

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr. Joachim Gunsalam memberitahu bahawa selagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai majoriti yang stabil, ia akan terbuka untuk bekerjasama dengan parti gabungan lain.

“Selagi GRS ada majoriti stabil, kita tiada masalah dan kita mengalu-alukan kolaborasi atau kerjasama dengan parti-parti lain, yang penting, GRS mengemudi arah tuju tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi sidang media di sini, tengah hari tadi.

Menurut Joachim yang merupakan Timbalan Pengerusi GRS, parti itu sentiasa terbuka dan berlapang dada untuk perbincangan.

“Kita terbuka kerana ini adalah sebuah negara demokrasi, dan yang pasti, setakat ini kita belum bercakap atau berbincang bersama-sama dengan mana-mana parti lagi dari sana (Semenanjung),” katanya.

Tambah Joachim lagi, jika ada yang ingin bertanding untuk PRN Sabah yang akan datang, mereka di alu-alukan untuk bersama bertanding secara sihat.

“Boleh, kita okay saja tapi lagi lawa kalau GRS memang tanpa perlu bertanding, tapi saya rasa tidak lah, ini susah.

“GRS mesti memang, kita tidak mahu bercakap pasal parti komponen dalam perjuangan PRN ini, tapi kita bercakap pasal GRS,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PRK), Nurul Izzah Anwar memberitahu bahawa parti itu mensasarkan untuk bertanding di 13 kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Selain itu, Sabtu lalu (24 Mei), Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali turut berkongsi bahawa parti itu sudah mengenalpasti kerusi yang berpotensi untuk menang di Sabah dan rundingan dengan parti politik Sabah akan terus dipupuk bagi membina kekuatan dan persefahaman demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat Sabah.

Tinggalkan komen