Kerajaan fokus tingkat keluaran koko dan pendapatan petani

Oleh: Allen Xavier

KOTA KINABALU: Malaysia masih berada di kedudukan tinggi dalam landskap industri koko di peringkat global walaupun bukan lagi pengeluar utama biji koko.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia merupakan di antara lima pengisar biji koko terbesar di dunia, di mana Malaysia mengisar sekitar 370,000 tan biji koko setiap tahun.

Katanya, jumlah eksport koko dan produk koko juga telah meningkat sebanyak 29 peratus, daripada 530,000 tan pada 2023 kepada sekitar 690,000 tan pada 2024 dengan nilai RM15 bilion.

“Dengan jumlah pengeluaran biji koko global yang makin berkurangan serta peningkatan peluang pendapatan yang banyak untuk petani koko, kerajaan melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) komited untuk mencergaskan semula ladang-ladang koko dalam negara untuk menambah kawasan penanaman dan meningkatkan pengeluaran koko,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Festival Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, kerajaan turut melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan petani dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) koko, seperti program kluster koko dan penubuhan koperasi.

“Selain itu, penyelidikan dan pembangunan koko oleh LKM telah berjaya menghasilkan koko yang mempunyai hasil yang tinggi dan kepelbagaian, meningkatkan daya tahan penyakit dan mempertingkatkan teknik pemprosesan.

“Usaha kerajaan dalam sektor huluan juga terus berbuah dengan peningkatan pengeluaran biji koko sebanyak 65 peratus, daripada 269 tan pada 2023 kepada 445 tan pada 2024.

“Walaupun pengeluaran biji koko kita agak minimum berbanding dengan 490,000 tan biji koko yang diimport, kita mesti menghidupkan semula pengeluaran koko tempatan untuk mengurangkan ketidakseimbangan di antara sektor hiliran kita yang teguh dan pengeluaran huluan yang terhad,” kata Johari.

Tambah beliau lagi, kerajaan kini memberi tumpuan kepada varieti koko premium seperti biji koko berperisa istimewa dan koko organik untuk memenuhi permintaan global khusus yang terdorong kepada kualiti dan kesihatan.

“Malaysia terus mengusahakan sistem kebolehkesanan koko yang telah mencapai 40 peratus keberkesanan, yang akan menjadi ciri Koko Premium Standard Malaysia,” katanya.

Selain itu, beliau berkata bahawa negara ini akan memulakan Kajian Kebolehlaksanaan Koko Karbon Rendah bagi menggiatkan sektor ke arah pertanian pintar iklim.

“Saya memegang kepercayaan tinggi bahawa ada potensi luar biasa untuk industri koko Malaysia.

“Marilah kita bersama-sama membina sebuah industri yang berdaya tahan dan inklusif yang menaikkan komuniti, memperkasakan petani dan menyokong planet kita,” beliau berkata.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah LKM Datuk Dr. Ramle Kasin dan Pengerusi LKM Datuk Matbali Musah.

Tinggalkan komen