Jangan tunggang sentimen tempatan

KOTA KINABALU: Pemangku Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin menegaskan bahawa pemimpin perlu mengamalkan sikap profesional dan tidak menunggang sentimen tempatan demi untuk meraih undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 kelak.

“Tuduhan Ketua Penerangan Pusat STAR Sabah, Anuar Ghani yang mendakwa Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Pusat masih melihat Sabah sebagai jajahan politik, dan untuk bertanding di 13 kerusi bagi PRN ke-17 ini sebagai sebuah tindakan yang tidak berasas.

“Saya melihat kenyataan Anuar Ghani ini langsung tiada asas melainkan cubaan menunggang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti biasa. Ini adalah perangai pemimpin STAR Sabah bila menjelang Pilihan Raya bagi meraih undi dengan menunggang sentimen tempatan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, malam tadi.

Menurut beliau lagi, Pakatan Harapan (PH) memberi autonomi kepada pimpinan Sabah dalam isu rundingan kerusi dan sentiasa menghormati autonomi politik Sabah.

“Untuk makluman bukan sahaja PRK malah PH memberikan autonomi kepada pimpinan di Sabah dalam isu rundingan kerusi. 

“PH kini di peringkat akhir rundingan sebelum memulakan rundingan dengan rakan gabungan lain samada GRS mahupun BN. 

“Malah angka 13 kerusi itu juga merupakan anggaran sasaran kerusi yang akan ditandingi PKR, yang mana ia angka yang logik jika berlaku kerjasama dengan gabungan lain,” katanya. 

Dalam pada itu, Razeef juga menegaskan bahawa PKR tidak bermaksud untuk campur tangan dalam urusan politik anak negeri apabila isu berkenaan jenytera dari negeri lain akan di hantar sempena PRN ke-17.

“Bukanlah bertujuan campur tangan dalam urusan politik anak negeri dan sebagai sebuah parti nasional, sudah tentu jentera dari negeri lain dikerah bagi meringankan kerja-kerja jentera tempatan agar jentera tempatan boleh fokus turun ke rakyat. 

“Itulah muafakat sebuah parti nasional memandangkan kami tidak berpolitik dengan menunggang sentimen kenegerian. Maka tidak ada istilah Sabah dijadikan tapak bagi menguji jentera kerana jentera Keadilan telah teruji sejak 26 tahun lalu,” katanya lagi.

Selain itu, Razeef juga memberitahu bahawa PRN Sabah adalah sebuah pilihan yang dibuat oleh rakyat dan rakyat berhak menentukan apa yang dikehendaki mereka.

“Ada baiknya jika kita jangan bertelagah soal kerusi dan berhenti kaitkan agihan kerusi di kalangan PH dengan MA63 kerana PKR dan PH Sabah mempunyai autonomi sendiri dan sudah tentu kerusi PHjuga ditandingi anak Sabah,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen